Oleh: Fatin Hidayah Yunus dan Siti Nur Balqis Mohd Asrul
Tanjong Malim, 5 November 2024– Drama Teater Pondok Usang merupakan satu-satunya program yang julung kalinya diadakan oleh pelajar Diploma Semester 4 di bawah anjuran kursus KAQ1063 Muzik dan Pergerakan Kreatif, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Drama teater Pondok Usang merupakan hasil kreatif pelajar Diploma PAKK yang bertujuan bukan hanya untuk memperlihatkan bakat seni mereka, tetapi juga untuk mengungkapkan nilai-nilai sosial dan budaya dalam sebuah pementasan. Dengan melibatkan seramai 70 orang pelajar, drama ini tidak hanya menekankan aspek lakonan, tetapi turut memanfaatkan elemen lain seperti muzik, tarian serta produksi teknikal untuk mencipta satu persembahan yang bermakna dan mendalam.
Melalui kerjasama semua pelajar Diploma PAKK Semester 4, telah berlangsungnya drama teater yang dijalankan pada minggu ke-14 kuliah ini sebagai penilaian tugasan pelajar dalam menguasai dengan baik kursus yang perlu diambil pada tahun kedua pengajian. Program ini berlangsung selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 November 2024 yang bertempat di Makmal Kreativiti, FPM. Program ini juga turut dihadiri oleh Dekan FPM Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak FPM dan juga pensyarah kursus iaitu Farhana Nohrin Mohd Anuar.
Antara objektif utama program ini adalah bertujuan memenuhi tugasan kursus Muzik dan Pergerakan Kreatif (KAQ1063). Selain itu, program ini juga berlangsung untuk memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa/i Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi mengaplikasikan kreativiti mereka dalam menghasilkan sebuah seni persembahan yang menarik.
Menyatukan 70 orang pelajar dalam sebuah pementasan adalah satu cabaran besar, namun komitmen dan kerjasama yang tinggi daripada setiap pelajar membolehkan kami mengatasi segala cabaran. Setiap pelajar mempunyai peranan tertentu iaitu sebagai pelakon, kru teknikal, pengurus produksi atau ahli reka bentuk set dan kostum.
Tambahan pula, latihan intensif dilakukan bagi memastikan persembahan berjalan dengan lancar, di mana para pelajar dilatih oleh pengarah, timbalan pengarah produksi dan juga pengurus pentas yang dipantau oleh pensyarah yang berpengalaman dalam bidang seni dan teater. Para pelajar yang bertanggungjawab dalam reka bentuk set dan kostum bekerja keras untuk mencipta sebuah pentas yang bole.
Sebagai pelajar diploma pendidikan awal kanak-kanak, mereka juga belajar tentang pentingnya seni dalam membentuk karakter kanak-kanak. Seni teater dengan segala tekniknya mampu membantu kanak-kanak mengembangkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran sosial, komunikasi, dan empati. Melalui pengalaman ini, pelajar dapat menimba pengetahuan praktikal yang dapat diaplikasikan dalam kerjaya kami nanti terutamanya dalam membina pembelajaran kreatif dan berkesan untuk kanak-kanak.
Drama Pondok Usang mendapat sambutan hangat daripada penonton yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiwa/i UPSI, keluarga dan kalangan pensyarah. Ramai yang memberikan maklum balas positif dan memuji usaha gigih para pelajar serta dedikasi dalam menjayakan persembahan ini.
Drama teater Pondok Usang merupakan sebuah projek yang bukan sahaja menghiburkan tetapi penuh dengan nilai-nilai yang relevan dengan kehidupan moden hari ini. Usaha 70 orang pelajar dalam menjayakan pementasan ini telah membuktikan bahawa seni teater mampu menjadi medium yang efektif dalam menyampaikan mesej sosial dan budaya serta pengalaman ini memberi inspirasi dan peluang kepada mereka untuk menjadi pendidik yang lebih peka, kreatif dan berdaya saing.