Tanjong Malim, 10 November– Pembukaan Kem Robotik Robolimpik di Dewan Kuliah, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung meriah telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Behrang) YB Salina Samsudin. Turut hadir Pengarah Urusan World of Robotics Sdn Bhd (WOR) Lee Yew Kein, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, Abdullah Daud, , Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Antarabangsa, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) Ts. Dr. Nazre Abdul Rashid serta pensyarah-penyarah UPSI, ibu-bapa serta peserta kem.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Salina percaya bahawa kem yang dianjurkan ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam usaha membangunkan generasi masa hadapan Malaysia yang berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Menurutnya lagi, pelaksanaan Kem Robotik Robolimpik ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI melalui usaha bersepadu dengan menggerakkan pelbagai aktiviti berlandaskan STI secara besar-besaran di seluruh Malaysia.

Kem Robotik Robolimpik disertai oleh kira-kira 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah yang berumur antara 9 hingga 12 tahun dari daerah Muallim. Program tersebut telah dilaksanakan dengan kerjasama WOR dan FKMT dengan tajaan MOSTI di bawah inisiatif SciTech4u. Penganjuran Kem Robotik Robolimpik adalah untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang STI di samping membina kemahiran insaniah berasaskan kepada Kemahiran abad ke-21 melalui penggunaan teknologi robotik.