Oleh : Nurfatihah Nor Isham

SUNGAI PETANI, 3 November- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menganjurkan program Eksplorasi Bitara 2.0: Hearts Linked in the Community yang berlangsung pada 1 hingga 3 November lalu bertempat di Taman Merbau, Sungai Petani. Program ini bertujuan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat antara UPSI dan masyarakat luar serta memperkukuhkan hubungan sosial antara mahasiswa dan komuniti setempat.

Seramai 29 orang peserta yang terdiri daripada barisan pentadbiran dan felo UKLK, serta mahasiswa tempatan dan antarabangsa UPSI telah mengambil bahagian dalam program ini. Aktiviti utama yang dijalankan termasuklah program anak angkat, gotong-royong bersama penduduk setempat, dan malam kebudayaan yang mempamerkan keunikan budaya masyarakat tempatan.

Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani

Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob sewaktu berucap dalam majlis perasmian program yang turut dihadiri oleh wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Merbau berkata program ini adalah penting dalam memupuk perpaduan antara belia dan masyarakat setempat serta memperkenalkan mahasiswa kepada budaya dan nilai masyarakat Sungai Petani.

AP Sungai Petani, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari

Ahli Parlimen Sungai Petani, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari turut hadir sebagai tetamu istimewa dalam acara perasmian program dan memberikan ucapan yang penuh inspirasi. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya perpaduan dan kerjasama antara generasi muda dan masyarakat untuk memajukan negara dan memperkukuhkan keharmonian.

“Saya ingin melihat generasi muda masa kini yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga kaya dengan pengalaman sosial dan budaya yang mendalam. Saya percaya program seperti ini adalah satu langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni,” ujar beliau lagi.

Program ini bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang berfokuskan ilmu dan pendidikan masyarakat, serta meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan dan perkhidmatan. Peserta diberi peluang untuk merasai kehidupan dalam komuniti setempat dan memahami kepentingan perpaduan, kerjasama, serta rasa hormat terhadap budaya penduduk yang berbeza. Aktiviti gotong-royong bersama penduduk tempatan memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat serta membantu dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Selain itu, malam kebudayaan yang diadakan pada penghujung program memberi ruang kepada peserta untuk menunjukkan kreativiti mereka melalui persembahan budaya yang meriah. Persembahan ini turut disertai oleh penduduk setempat yang mempamerkan kebudayaan mereka melalui tarian, muzik, dan masakan tradisional.

Pengarah program iaitu Irdina Wafa Zulkifli berkongsi rasa bangga atas kejayaan program ini serta berharap agar nilai-nilai yang dipelajari akan terus dihayati. Menurut beliau, program anak angkat ini bukan sekadar satu inisiatif untuk mengenali budaya tempatan, tetapi satu platform untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan belia dan masyarakat setempat.

“Kami melihat bagaimana para peserta dapat menyatu bersama komuniti dengan cepat dan terjalin ikatan kekeluargaan yang erat, sesuatu yang amat membanggakan. Program ini membuktikan bahawa meskipun terdapat perbezaan dalam budaya dan latar belakang, nilai-nilai murni seperti kerjasama, hormat-menghormati, dan kasih sayang mampu menyatukan kita semua.” ujar beliau.

Impak program ini amat positif, di mana ia berjaya memperkukuhkan hubungan antara UPSI dan masyarakat setempat, sekaligus memupuk semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam diri para peserta. Program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk lebih memahami pentingnya nilai perpaduan dan kerjasama dalam memperkukuhkan struktur sosial di Malaysia.

Program Eksplorasi Bitara 2.0 adalah satu inisiatif berterusan dari UPSI untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat, selain memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.