Oleh: Hayana Julkepli
Tanjong Malim, 8 November 2024 – Bersatu teguh, bercerai roboh. Perjumpaan yang diadakan setiap kali kemasukan semester baru ke kolej kediaman bukan sahaja menjadi rutin tetapi juga menjadi satu peluang penting untuk memupuk semangat komuniti dan seterusnya menyampaikan maklumat penting kepada penghuni baru.
Pada 7 November 2024, Khamis, bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar, Exco Penginapan dan Kemasyarakatan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan program Get-Together: KUO Residents yang merupakan sebuah program perjumpaan antara penghuni bersama barisan pentadbir, felo kediaman serta Majlis Mahasiswa Kolej.
Di bawah program tersebut juga telah berlangsung sesi jerayawara perkhidmatan wifi@kolej bersama pihak ICT UPSI.
Program Get-Together: KUO Residents dimulakan dengan slot bersama pihak ICT UPSI untuk memberikan pendedahan tentang kelajuan pencapaian internet serta wifi di kampus dan juga kolej-kolej kediaman.
Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Berusaha Professor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang telah berkunjung ke kaunter Pihak ICT yang disediakan sekiranya penghuni menghadapi peranti yang bermasalah dalam pencapaian internet.
Program ini juga bertujuan memperkenalkan barisan pentadbir, felo-felo kediaman , Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sidang 2024/2025 serta ketua aras dan penolong aras setiap blok.
Selain itu, terdapat sesi pendedahan garis panduan dan peraturan-peraturan kolej yang perlu dipatuhi oleh penghuni bagi memastikan keselamatan dan keamanan kolej terjamin dan seterusnya membentuk penghuni menjadi individu berdisiplin serta cakna terhadap peraturan kolej.
Menurut Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, pengetua Kolej Ungku Omar, dengan bertambahnya kapasiti penghuni bagi setiap bilik yang dahulunya 6 orang bagi setiap rumah bertambah menjadi 12 orang maka timbullah pelbagai ragam.
Oleh itu, penghuni perlulah saling mengenali, hilangkan rasa pentingkan diri serta bertolak ansur supaya dapat hidup dalam harmoni.
Dengan berakhirnya program Get-Together: KUO Residents, semoga ia dapat menjadi platform bermanfaat untuk memupuk silaturahim dan menjalin interaksi antara penghuni dengan barisan pentadbir, felo dan MMK dalam membentuk kolej kediaman yang harmoni dan bersatu padu.