Oleh: Felicia Buah Jepri & Mohd Fadhli Rosli

KUALA KANGSAR, 10 NOVEMBER- Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP), Sungai Siput telah menjadi tuan rumah kepada Program Explorasi Kesukarelawan Budaya Negeri Perak. Program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) ini bertujuan untuk membantu memelihara serta mengembangkan seni budaya warisan tempatan, di samping mengukuhkan semangat perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Program bersejarah ini, yang melibatkan 46 peserta daripada Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) dan 19 peserta antarabangsa dari negara seperti Indonesia, China, Bangladesh, Pakistan, Palestin, dan Nigeria, telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak,Yang Berhormat Khairudin Abu Hanipah. Turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Sabri Abdul Ghani, Pengetua SSeMP Anuar Mamat, serta wakil pengarah Hospital Sungai Siput Ebby Shaifullah Mohd Yusuf, di samping para guru dan pelajar SSeMP.

Lawatan ke Perkampungan Warisan Budaya Perak

Aktiviti utama yang dijalankan sepanjang dua hari program ini termasuklah pameran seni dan persembahan kebudayaan, bengkel tarian gabus, bengkel motivasi, serta lawatan ke beberapa destinasi budaya utama di Negeri Perak seperti Perkampungan Warisan Budaya Negeri Perak, Kraf Labu Sayong, Muzium Diraja Perak, dan Masjid Ubudiah. Selain itu, satu sesi pengagihan sumbangan berupa sejadah, telekung, dan Al-Quran telah diserahkan kepada sekolah-sekolah dan surau-surau di kawasan sekitar Sungai Siput, hasil sumbangan daripada Kerajaan Negeri Perak dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPSI.

Aktiviti pemprosesan kraf labu sayong
Sesi bergambar bersama Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP)

Dalam ucapan perasmian, YB Khairudin Abu Hanipah menekankan kepentingan budaya sebagai identiti bangsa yang perlu dipelihara dan dikembangkan, serta menghargai sumbangan para sukarelawan yang menyertai program ini. Beliau juga menyatakan bahawa program sebegini amat diperlukan untuk menghubungkan kepentingan dan sumber daya yang terdapat di agensi pengajian tinggi dengan pihak sekolah serta komuniti setempat.

YB Khairudin Abu Hanipah
Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani

Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob dalam ucapan beliau turut menyatakan bahawa program ini adalah platform yang sangat baik untuk memelihara dan mengembangkan seni budaya warisan, sambil memberi impak positif kepada masyarakat. “Dengan penyertaan peserta antarabangsa dan dari negeri-negeri lain, program ini berupaya memperkukuhkan lagi perpaduan antara pelbagai kaum dan budaya di Malaysia,” katanya.

Netelie Nuil selaku pengarah program ini dalam ucapan penutupnya mengungkapkan harapan besar agar program ini dapat terus memperkenalkan keunikan seni dan kebudayaan tradisional Perak kepada masyarakat umum, terutamanya melalui aktiviti kesukarelawan. Menurutnya, penglibatan para peserta dalam aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi mereka peluang untuk mempelajari budaya secara langsung tetapi juga mengintegrasikan nilai-nilai sosial dan tanggungjawab komuniti yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan individu dan masyarakat.

Impak dan hasil program ini dijangka memberikan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai warisan seni dan budaya Perak, serta meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya memelihara dan menghargai kebudayaan tempatan. Diharapkan bahawa usaha ini dapat membuka minda para peserta untuk lebih menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

Program Explorasi Kesukarelawan Budaya Negeri Perak bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara budaya dan masyarakat, tetapi juga sebuah usaha berterusan dalam memartabatkan warisan seni budaya tempatan demi masa depan yang lebih harmoni dan bersepadu.