Oleh: Nur Ain Suraiya Farhanah Mohmad Noor

Kuala Lumpur, 9 November– Bahagian Governan baru-baru ini telah menganjurkan Kursus Inspektorat dan Keselamatan Perlindungan khusus kepada Pegawai Keselamatan Jabatan (PKJ) dan Penolong Pegawai Keselamatan Jabatan (PPKJ) selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2024 bertempat di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur.

Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus keselamatan yang berkualiti di universiti, selain sebagai persediaan menjalani penarafan inspektorat oleh Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Kursus ini mengumpulkan PKJ iaitu Pendaftar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Helmi Zaifura Abdul Rahman dan PPKJ dari 57 Pusat Tanggungjawab (PTj) di UPSI yang dilantik bagi meningkatkan pemahaman dalam bidang keselamatan perlindungan serta mematuhi prosedur keselamatan terkini yang ditetapkan oleh CGSO.

Semua PPKJ dari setiap PTj UPSI dan PKJ Helmi Zaifura (duduk barisan hadapan, 5 dari kanan) bergambar bersama penceramah dari ILKEM CGSO Awang Mohd Ismail A.M. Nordin (duduk barisan hadapan, 4 dari kanan) pada sesi terakhir kursus.

Kursus ini disusun rapi dengan modul yang merangkumi dasar keselamatan perlindungan, pengurusan keselamatan fizikal, prosedur keselamatan perlindungan aset dan peribadi, serta teknik pengurusan dokumen dan maklumat rahsia rasmi.

Hari kedua sesi kursus disampaikan oleh penceramah dari ILKEM CGSO Mohd Sofandi Bujang
Semua peserta semasa kursus

Dua orang penceramah yang berpengalaman dari Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM) telah dijemput bagi membimbing peserta kursus dan memberi pemahaman secara menyeluruh berkenaan peranan mereka bagi membudayakan keselamatan perlindungan di PTj.

Awang Mohd Ismail semasa menyampaikan kursus kepada semua peserta

Selain itu, peserta diberikan pemahaman mengenai prosedur inspektorat yang efisien serta pentingnya pelaksanaan pengawasan berkala untuk menjamin kepatuhan terhadap standard keselamatan.

Kursus ini juga menekankan kepentingan komitmen semua pegawai keselamatan universiti dalam memastikan keselamatan kakitangan, pelajar, dan aset universiti sentiasa terpelihara.

Semua peserta bergambar bersama Mohd Sofandi setelah selesai sesi kursus pada hari kedua

Di akhir kursus, semua peserta menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam meningkatkan standard keselamatan universiti.

UPSI berharap kursus seperti ini dapat diadakan secara berkala untuk memperkasakan budaya keselamatan dan menjadikan UPSI sebagai institusi pendidikan yang selamat dan terjamin.