Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 13 November 2024 – Pusat Pembangunan Akademik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru – baru ini menganjurkan program ‘Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) membabitkan penyertaan 71 projek yang telah dijalankan oleh warga UPSI.
Program yang dilangsungkan pada 12 hingga 13 november tersebut turut melibatkan 6 orang juri jemputan yang terdiri daripada ahli jawatankuasa strategik SULAM KPT, pakar SULAM dan wakil komuniti serta lebih 300 orang pengunjung hadir sepanjang program itu berlangsung.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, ketika berucap pada majlis perasmian apresiasi SULAM UPSI 2024 berkata, program itu menjadi platform penghargaan dan pengiktirafan dalam menghargai kerjasama era tantara UPSI, komuniti dan pihak industri.
Katanya, SULAM merupakan inisiatif KPT yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti yang mengetengahkan pendekatan ‘High-Impact Educational Practices’ (HEIPs) yang memberi ruang kepada pelajar berinteraksi dengan komuniti sambil menjalikan kerjasama strategik dengan industri dengan agensi kerajaan.
“Pelaksanaan SULAM berpotensi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan tentang isu semasa dan setempat, malah prihatin terhadap keperluan masyarakat serta proaktif dalam menginovasikan penyelesaian sosial berasaskan ilmu yang dipelajari.
“Usaha ini, yang telah mula bertapak sejak 2019, merupakan langkah penting dalam melibatkan komuniti dalam aktiviti berasaskan ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT),” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut hadir menyampaikan hadiah berupa replika cek yang bernilai RM 50 hingga RM 500 kepada para penerima anugerah Showcase SULAM@UPSI dalam 9 kategori yang dipertandingkan melibatkan warga UPSI dan komuniti.
Dalam majlis itu juga, beliau turut mengucapkan tahniah kepada UPSI atas kejayaan meraih dua anugerah dalam kategori berbeza dalam Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024.
Kemenangan tersebut adalah hasil projek SULAM UPSI oleh Dr. Hamidah Idris melalui inovasi ‘Unifying PSI: Learn-Create-Deliver for Educators yang meraih naib johan dalam kategori transformatif.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata projek Unifying PSI merupakan ‘output’ daripada Program Pembangunan Profesional Pensyarah UPSI 2023 di University of Pennsylvania, USA dalam bidang ‘Project Based Learning’.
“Program tersebut adalah salah satu inisiatif UPSI dalam pemerkasaan bakat pensyarah selaras dengan status UPSI sebagai universiti pendidikan tersohor di Malaysia.
“Pelaksanaan SULAM membuka peluang kolaborasi dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara melalui jalinan kerjasama dengan pelbagi industri, agensi dan komuniti.
“UPSI juga kini mengaplikasikan program khidmat komuniti dalam semua segi antaranya program Bina Insan Bitara, Rabu untuk Qalbu, UPSI Eduforest dan Sukan@UPSI yang menjadikan UPSI sebagai ‘one stop center’ untuk aktiviti masyarakat,” ujar beliau.
Turut hadir ke majlis yang berlangsung di Muallim Ballroom, Scholar Suites, UPSI ini Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin.