oleh: Musa Jaafar
Klang, 20 Oktober 2024– Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI mengendalikan Kursus Pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Matapelajaran Pendidikan Islam (Aspek Al-Quran) kepada Pendidik Masyarakat TABIKA Pra Tahfiz KEMAS dari 17 – 20 Oktober 2024 bertempat di KSL Esplanade Hotel ,Klang.
Kursus ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan KEMAS, Pn. Rafea’ah Binti Haji Nahar.
Program ini merupakan inisiatif Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pendidikan Al-Quran dijadikan teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak yang beragama Islam selain daripada kemahiran sedia ada yang diperlukan sebagai persediaan masuk ke Tahun Satu.
Seramai 60 orang Pendidik Masyarakat daripada Wilayah Persekutuan K.L dan Selangor merupakan “insan terpilih” yang bertuah kerana diberikan pendedahan awal kepada pedagogi Ulul Albab Junior.
Menurut Dr. Sakinah, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, kursus ini dirangka dan disusun khusus kerana pedagogi Ulul Albab Junior ini sesuai dengan peringkat pra tahfiz di mana ilmu yang sedia ada pada pendidik dapat diaplikasikan bukan sahaja dalam matapelajaran Al-Quran, malahan dalam pelbagai matapelajaran lain serta kehidupan seharian pendidik dan kanak-kanak.
Dalam ucapannya, Pn Rafea’ah berkata bagi meningkatkan kualiti pendidikan Al-Quran di TABIKA KEMAS, pihak KEMAS telah menjalin kerjasama erat bersama Gabungan Persatuan Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) bagi menyaring kemahiran asas al-quran dalam kalangan pendidik.
Kerjasama UPSI-KEMAS dalam memperkenalkan pedagogi Ulul Albab Junior ini adalah kesinambungan daripada ilmu yang telah dipelajari pendidik semasa bersama PINTA Kebangsaan dan Yayasan Pahang.
Melalui konsep Ulul Albab ini, pendidik didedahkan dengan elemen QEI iaitu Quranik (al-quran sebagai sumber ilmu), Ensiklopedik (bakat komunikasi dan kepelbagaian penggunaan bahasa asing) dan Ijtihadik (berinovasi dan penggunaan teknologi).
Pedagogi ini bukan sahaja berfokus kepada aspek hafazan semata-mata malah ia boleh membantu pendidik menggabungjalin elemen al-quran dalam kehidupan seharian dan merentas kurikulum serta modul sedia ada di KEMAS.
Pendidik yang hadir kursus ini amat bertuah kerana telah didedahkan dengan ilmu tambahan dalam pendidikan al-quran.
Team pedagogi Ulul Albab Junior UPSI telah berjaya menerap 8 slot penting iaitu Konsep QEI Ulul Albab Junior dalam PdP, Perancangan, Penilaian dan Pentaksiran Berkesan, Teknologi Instruksional Dalam Pendidikan Al-Quran, Penerapan Tahbib dalam Pendidikan Al-Quran, Pemerkasaan Al-Quran menerusi Kaedah Talaqqi, Pengukuhan Al-Quran/Jawi menggunakan konsep Tahriri, Analisis Tema dalam Juzuk Amma (Tadabbur) dan Latihan Dalam Kumpulan dalam memperkenalkan elemen QEI Ulul Albab Junior.
Di akhirnya, pihak KEMAS mengucapkan penghargaan kepada Pusat Ulul Albab, UPSI kerana telah berjaya membangunkan Modul Pedagogi Ulul Albab Junior. KEMAS berasa amat bertuah kerana menjadi agensi pertama penyedia perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak pertama yang diberikan latihan pedagogi Ulul Albab Junior ini.