oleh: Musa Jaafar

KUALA TERENGGANU, 4 November 2024 Demi berbakti kepada alam sekitar, Majlis Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) mengatur langkah menelusuri tasik buatan yang terbesar di Malaysia dalam misi menjayakan program khidmat sukarelawan yang melibatkan komuniti tempatan dan misi membelah alam Tasik Kenyir.

Dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem yang sedia ada dan masih belum tercemar, lokasi ini menjadi tempat yang ideal untuk menjalankan kajian ilmiah, melaksanakan program kesedaran masyarakat dan program khidmat komuniti.

Program jelajah ilmiah ini dirancang bagi membolehkan delegasi Majlis Pengarah menambah ilmu pengetahuan, merakam pengalaman, menikmati pemandangan dan memupuk tanggungjawab sosial dalam menjaga kelestarian flora dan fauna Tasik Kenyir.

Program CSR bersama jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Majlis Pengarah JHEPA telah mendapat kerjasama erat dan mantap daripada Jurulatih Pusat Kokurikulum Kuala Berang, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dari 1 November – 4 November 2024. 

Jelajah yang dihadiri  seramai 20 orang terdiri dari pengarah, pegawai dan staf di bawah Majlis Pengarah telah berkampung selama 3 hari 2 malam di sini serta dibekalkan dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti  selaras dengan objektif program.

Penyampaian cenderahati kepada Pengusaha Papa Houseboat Kenyir

Antara program yang menarik perhatian delegasi adalah pendedahan dan pengetahuan tentang kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna yang terdapat di sini terutama pelbagai spesis pokok, tumbuhan, akar, daun dan bunga yang sangat signifikan dalam kehidupan manusia antaranya Tongkat Aji Samad, Kenarak Hutan, Mata Ayam, Gandarusa dan Gajah Beranak.

Di Pulau Herba, peserta dibawa menjelajah warisan budaya dan sejarah Taman Herba dengan menikmati minuman herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mahkota Dewa. 

Peserta menikmati minuman herba

Peserta juga berpeluang menunjukkan kemahiran dalam aktiviti memancing, berkayak dan merasai kedinginan Air Terjun Lasir dan Saok.

Ketika diminta mengulas selepas majlis penyampaian cenderahati kepada pengusaha Papa Houseboat Tasik Kenyir, Pengerusi Majlis Pengarah, Prof Madya Dr. Mazuki Bin Mohd. Yassim berkata pemerkasaan alam semulajadi dan kehidupan ekosistem tasik mesti dipelihara dan dijaga menerusi kepimpinan berwibawa serta didokong oleh pemimpin yang mencintai alam semulajadi.

Ini kerana insan yang seharusnya menjadi tulang belakang dan rujukan utama  dalam proses melahirkan masyarakat yang berjiwa penyayang dan profesional dalam memenuhi keperluan dan kehendak pembangunan adalah lahir dari  universiti yang dekat dengan komuniti dan alam.

Peserta delegasi Majlis Pengarah

Terdahulu, di Kompleks Pusat Kokurikulum Kuala Berang, dalam program CSR Bicara Pemantapan Pendidikan Luar (Kayak dan Orienteering) Jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu, Dr Mazuki Mohd Yassim telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam meningkatkan keberkesanan dan meningkatkan minat  pelajar-pelajar bagi menjalankan aktiviti kokurikulum di sekolah.