Slim River, 12 November- Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini telah mengadakan satu program amal dengan menyumbangkan 400 naskhah al-Quran kepada komuniti di Slim River, Perak.
Sumbangan waqaf al-Quran telah diserahkan oleh wakil UCTC, Mohamad Amin Idros dan Mohamad Aidil Aimin, kepada Imam Masjid Kampung Balun, Ustaz Mohd Sabri Abdullah di Masjid Kampung Balun, Slim River.
Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, 400 naskhah al-Quran yang diserahkan ini akan diagihkan kepada SK Balun, Surau Permai, Masjid Kelan, Masjid Rasau dan beberapa buah surau dan masjid di sekitar kawasan Slim River yang memerlukan.
“Usaha ini dapat memberi ruang kepada masyarakat yang kurang berkemampuan memiliki kitab al-Quran, sekali gus mengurangkan jurang sosial dalam akses kepada ilmu agama dalam pembangunan rohani.”
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, UPSI terus memainkan peranan penting menyemarakkan amalan keagamaan dengan membawa objektif utama bagi meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat, serta menyemarakkan amalan ibadah di peringkat akar umbi.
“Sumbangan al-Quran ini adalah simbol komitmen UPSI dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk membangunkan masyarakat yang seimbang, baik dari segi duniawi mahupun ukhrawi,” ujarnya lagi.