Oleh: Harith

Tanjung Malim – Kolej Awang Had Salleh (KAHS), telah menjadi Kolej Kluster Kesenian dan Kebudayaan, dan melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Frekuensi 2024. Kemenangan ini merupakan hasil usaha gigih seluruh warga kolej serta peserta yang menunjukkan kecemerlangan dan komitmen tinggi dalam setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

KAHS berjaya membawa pulang lima pingat emas dalam pertandingan yang dipertandingkan, menjadikan mereka juara yang unggul. Antara acara yang berjaya memberi kemenangan kepada KAHS termasuk Irama Malaysia, Tarian Rampaian Kreasi, Drama Sebabak, Sajak, dan Syair.

Pengetua KAHS, Dr. Mardiana binti Ismail, menyifatkan kemenangan ini sebagai satu pencapaian bermakna yang menjadi titik permulaan kepada perjalanan kolej ini untuk mencapai status sebagai Kolej Bitara. “Ini adalah bukti bahawa Kolej Awang Had Salleh mampu bersaing dengan cemerlang. Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat martabat kolej, tetapi juga menjadi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha dan berdaya saing,” katanya.

Pertandingan Frekuensi 2024 yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 15 sehingga 17 November 2024, bertempat di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, turut menyaksikan acara-acara lain seperti Irama Malaysia, Kompang Formasi, Battle of the Band, dan Nasyid. Kesemua acara ini memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat seni dan kreativiti mereka dalam suasana persaingan yang sihat.

Bunga mawar indah berseri,

Mekar tumbuh di laman desa,

Lima emas hiasan diri,

Juara Frekuensi ini milik kita.

Dengan kemenangan ini, Kolej Awang Had Salleh telah membuktikan keunggulan mereka dalam bidang seni dan kebudayaan, seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pelajar yang holistik dan berdaya saing. Tahniah diucapkan kepada semua warga KAHS atas kemenangan yang gemilang ini!