Oleh : Najatul Alya Abd Jamil

Tanjong Malim, 16 November 2024 — Sebuah program Street Dakwah : “Ilmu Fardhu Ain?” yang dianjurkan oleh Lajnah Modal Insan dan Kepimpinan di bawah Kelab Al-Mursyidin dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya di sekitar kawasan Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Program yang melibatkan seramai 19 orang sukarelawan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa/i tentang kepentingan ilmu fardhu ain dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.

Sepanjang program dilaksanakan, secara tidak langsung sukarelawan yang terlibat dapat mengasah kemahiran berkomunikasi terutamanya dalam menyampaikan dakwah kepada muslim yang lainnya.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat dan penerangan kepada semua sukarelawan sebelum bergerak ke checkpoint masing-masing. Antaranya, kafe kolej, perkarangan Masjid al-Mursyidin dan kafe Pusat Islam.

Kemudian, sukarelawan mula mendekati mahasiswa yang berkelapangan untuk diedarkan flyers beserta penerangan ringkas berkenaan kewajipan dan kepentingan mempelajari ilmu fardhu ain.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa. Maklum balas yang diterima menunjukkan ramai peserta memperoleh pemahaman yang lebih jelas tentang tanggungjawab fardhu ain dan berazam untuk mengamalkannya dalam kehidupan harian.

Street Dakwah bertajuk “Apakah Ilmu Fardhu Ain?” berjaya mencapai matlamatnya untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan ilmu ini. Adalah diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai tema lain yang relevan untuk pembangunan rohani masyarakat.