Oleh : Hasridayanti dan Muhammad Farhan
Sungai Besar, 17 November – Memanah dan berkuda merupakan sukan yang dianjurkan dalam Islam kerana manfaatnya terhadap aspek fizikal, kesabaran, keyakinan, dan ketangkasan. Dalam usaha memartabatkan sukan sunnah ini, Program Sukan Sunnah Siri 1: Memanah dan Berkuda telah dianjurkan di Pusat Latihan Memanah dan Berkuda (PLASMA), Sungai Besar. Program siri pertama ini bertujuan memperluaskan kesedaran tentang sukan sunnah dalam kalangan mahasiswa UPSI. Dengan menggabungkan elemen kemahiran dan kecekapan, program ini diharapkan dapat melahirkan individu yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sihat secara fizikal dan mental, selari dengan tuntutan agama dan masyarakat.
Program sehari ini bermula dari jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang, dianjurkan oleh Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Seramai 35 orang pelajar UPSI dari pelbagai bidang pengajian dan fakulti telah menyertai program ini. Sepanjang program, peserta didedahkan dengan slot pengenalan dan latihan yang bermanfaat, termasuk pengetahuan mengenai sukan berkuda dan asas latihan memanah tradisional.
Slot pertama dimulakan dengan taklimat oleh tenaga pengajar mengenai aktiviti sepanjang hari, diikuti dengan sesi mengenali dan mendekati kuda. Peserta mempelajari asas menunggang kuda dengan betul dan selamat di bawah bimbingan jurulatih. Jurulatih juga mendedahkan cara penjagaan kuda, termasuk memberi makan, membersihkan, dan memahami sifat semula jadi haiwan tersebut. Peserta diberi peluang untuk mendekati, menyentuh, dan menunggang kuda di bawah pengawasan jurulatih bagi memastikan mereka memahami cara menunggang dengan selamat dan penjagaan asas kuda.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan slot asas memanah tradisional. Jurulatih menerangkan fadhilat, adab, dan rukun memanah sebelum peserta memulakan latihan praktikal. Peserta diajar lima asas memanah tradisional dan teknik-teknik asas seperti postur, cara memegang busur, dan teknik melepaskan anak panah. Sesi amali ini membantu peserta menguasai teknik memanah dengan betul agar tidak tersalah sasar. Setiap peserta berpeluang merasai pengalaman memanah dengan bimbingan jurulatih.
Slot ketiga diteruskan dengan sesi praktikal memanah dalam kumpulan melalui pertandingan mini. Tujuh kumpulan dibentuk bagi menyertai pertandingan ini, yang bertujuan melatih kerjasama dan fokus kepada sasaran.
Slot terakhir merupakan sesi refleksi untuk menilai prestasi peserta. Pelbagai maklum balas positif diterima, dan peserta menyatakan bahawa program ini telah menambah serta meningkatkan kemahiran mereka dalam memanah dan berkuda, di samping memperoleh pengetahuan baharu.
Yang Dipertua KeSUA 24/25, Muhammad Nor Afzan Emran dalam ucapan penutup program dan sesi penyampaian hadiah pertandingan mini, menekankan bahawa program ini memberikan banyak ilmu baharu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang berkuda dan memanah. Beliau berharap agar peserta, menjadikan program ini sebagai batu loncatan untuk terus aktif dalam program dan aktiviti yang dianjurkan di UPSI. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak PLASMA atas kesudian menerima kunjungan peserta UPSI dalam menjayakan program ini.