Oleh: Dr. Mazlina Musa, Dr. Nurulsaidah Abdul Rahim dan Dr. Norlaili Abu Bakar

Tanjung Malim 13 November 2024 – Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan siri Syarahan Budiman Profesor Chm. Dr. Azlan Kamari dengan tajuk syarahan “Inovasi daripada Biopolimer Kitosan”.

Syarahan ini mengetengahkan penyelidikan dan inovasi biopolimer kitosan yang dilaksanakan oleh Profesor Chm. Dr. Azlan Kamari dan pasukannya.

 
Profesor Chm. Dr. Azlan Kamari  semasa Majlis Syarahan Budiman ‘Inovasi daripada Biopolimer Kitosan’ bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli dalam ucapan aluannya menyatakan, majlis Syarahan Budiman diadakan bertujuan untuk menyalurkan pengetahuan tokoh-tokoh akademik UPSI kepada warga universiti, dan pihak yang berkaitan.

Selain itu, majlis ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan Profesor Chm. Dr. Azlan Kamari dalam bidang kimia analisis.

Majlis ini juga merupakan satu wadah perkongsian ilmu khususnya mengetengahkan hasil-hasil kajian terkini dalam bidang beliau bagi menyebar luaskan ilmu secara berterusan yang berteraskan kesarjanaan serta kecemerlangan akademik bersama ahli akademik, pelajar dan masyarakat setempat.

Sementara itu, perkongsian  biografi Prof. Chm. Dr. Azlan Kamari telah dibacakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik, UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah.

Syarahan Prof. Chm. Dr. Azlan Kamari dimulakan dengan perkongsian impian,cita-cita, sejarah, motivasi dan kejayaan karier beliau sebagai seorang pensyarah serta penyelidik yang berjaya sehingga bergelar profesor di UPSI.

Perkongsian ini telah menyentuh emosi para jemputan yang hadir pada ketika itu.  Sekaligus, beliau telah menaikkan semangat para pelajar untuk terus berusaha dan berjaya dalam pelajaran mahupun kerjaya.

Prof. Chm. Dr. Azlan Kamari adalah satu-satunya saintis Malaysia yang berjaya menerima The Allan Ure Bursary Award pada tahun 2009 dari The Atomic Spectroscopy Group (ASG) of the Royal Society of Chemistry (RSC) United Kingdom atas sumbangan beliau terhadap pengetahuan baharu dan inovasi berkaitan pengaplikasian Kaedah Spektroskopi Atom dalam bidang Kimia Alam Sekitar.

Beliau juga adalah antara empat finalis pertandingan ‘Environmental Protection UK Student Awards 2009’ anjuran Environmental Protection United Kingdom (EPUK).

Selain itu, beliau juga aktif menyertai pertandingan inovasi penyelidikan seperti International Invention, Innovation & Technology Expo (ITEX), Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA), Malaysia Technology Expo (MTE), Malaysia Invention & Innovation Expo (MIIX), Malaysia Grand Invention Expo (MaGIEx) dan Virtual Innovation Competition (VIC).

Hasil dari penyertaan pertandingan-pertandingan tersebut beliau telah berjaya merangkul 5 pingat emas, 4 pingat perak dan 5 pingat gangsa. Prof. Chm. Dr. Azlan Kamari juga berjaya memperoleh perlindungan harta intelek, iaitu 3 paten dan 20 hak cipta untuk produk dan inovasi penyelidikan yang dijalankan.

Dalam syarahan tersebut, Azlan juga berkongsi tentang maklumat kitosan boleh dihasilkan daripada kitin yang diperoleh dari sumber makanan laut seperti kulit ketam, udang, rawan sotong dan cendawan. Beliau telah membuat pengubahsuaian kitosan secara fizikal dan kimia.

Pengubahsuaian fizikal dilakukan dengan menukar serbuk kitosan kepada gel dan manik kitosan. Sementara pengubahsuaian kimia pula dilakukan dengan menggunakan tiga bahan agen rangkai silang iaitu glutaraldehid, epiklorohidrin dan eter etilena glikol diglisidil.

Kitosan mempunyai kumpulan berfungsi hidroksil dan amina yang mana membolehkan ia mudah untuk diubahsuai.  Setelah kitosan diubahsuai ia boleh digunakan sebagai bahan untuk rawatan air yang tercemar dengan perwarna dan logam berat.

Hasil kajian Azlan dan pasukannya telah menunjukkan air yang dirawat menggunakan kitosan boleh digunakan semula untuk tanaman. Kitosan juga merupakan bahan yang bersifat kationik yang mana mempunyai ketumpatan cas yang tinggi dan amat sesuai sebagai agen penggumpal. Ia juga merupakan biopolimer semulajadi yang tidak toksik dan mudah terdegradasi.

Di samping itu, kitosan juga merupakan agen pengkelat bagi ion logam. Beberapa  inovasi biopolimer kitosan ini  yang berjaya dihasilkan oleh. beliau serta pasukannya juga digunakan dalam bidang perawatan tanah, pembungkusan makanan, serta racun perosak.

Profesor Chm. Dr. Azlan Kamari dengan produk penyelidikan

Menurut Azlan, kitosan mempunyai prospek masa hadapan yang baik. Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), khususnya matlamat ke 9 (Industri, Inovasi dan Infrastuktur) dan 15 (Kehidupan di Darat).

Namun, cabaran utama bagi penyelidikan kitosan adalah ketersediaan terhad bahan mentah kitosan yang berkualiti tinggi. Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai kesan alam sekitar terhadap proses pengeluaran kitosan, kerana terdapat beberapa kaedah yang  melibatkan penggunaan bahan kimia yang bersifat toksik.

Profesor Chm. Dr. Azlan Kamari  bersama ahli Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI

Majlis syarahan ini berlangsung pada 13 November 2024, Rabu, 9:00 pagi di Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Syarahan ini telah dihadiri oleh pengurusan tertinggi UPSI serta fakulti, staf , pelajar UPSI, guru dan pelajar dari SMK Khir Johari serta SMK Bandar Behrang 2020.