Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
Filipina, 3 November 2024,- Tiga atlet muda dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Mustaqim Zulkarnain, Hassan Al Basri Ali, dan Muhammad Naeim Shahmi Mahusin, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul pingat Perak & Gangsa di Kejohanan Dunia ICF Dragon Boat 2024 yang berlangsung di Puerto Princesa, Filipina.
Ketiga-tiga atlet yang merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), UPSI. Ini menunjukkan prestasi cemerlang dalam dua acara penting, iaitu acara 200 meter Open dan 2,000 meter Open.
Kejohanan Dunia ICF Dragon Boat 2024 merupakan salah satu acara sukan air berprestij yang menghimpunkan atlet dragon boat terkemuka dari seluruh dunia.
Diadakan di Puerto Princesa, Filipina, dari 31 Oktober hingga 3 November 2024, kejohanan ini menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai acara dan jarak, dengan setiap pasukan bertanding menunjukkan kekuatan, ketangkasan, dan semangat berpasukan yang tinggi.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf kehebatan atlet-atlet dragon boat, tetapi juga bertujuan memupuk hubungan persahabatan dan pertukaran budaya antara negara peserta melalui semangat kesukanan yang tinggi.
Penglibatan mereka di kejohanan dunia ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ketiga-tiga mereka dipilih berdasarkan prestasi dan dedikasi dalam latihan intensif yang dijalankan di peringkat universiti dan negara.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi motivasi buat Muhammad Mustaqim, Hassan Al Basri, dan Muhammad Naeim Shahmi tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus mengejar impian di peringkat antarabangsa.
Mereka berharap untuk dapat mewakili negara lagi pada masa akan datang dan membawa pulang lebih banyak kejayaan di arena sukan antarabangsa.
Syabas diucapkan kepada ketiga-tiga atlet UPSI ini atas dedikasi dan pencapaian luar biasa mereka.