Oleh: Muhammad Aliff bin Alias

Tanjong Malim, 27 November 2024 – Exco Penginapan dan Kebajikan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024/2025 telah mengadakan sebuah program kebajikan iaitu Qaseh Kebajikan: ‘My Qaseh Prihatin, Membina Kehidupan’. Program yang berklusterkan kesukarelawanan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan penghuni yang kurang berkemampuan, memastikan penghuni mendapat nutrisi yang mencukupi, dan menggalakkan keprihatinan dan solidariti dalam kalangan komuniti kolej.

Ucapan pembukaan program oleh
Dr. Haji Che Anuar

Program Qaseh Kebajikan ini dimulakan dengan ucapan pendahuluan daripada Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah. Di dalam ucapan beliau, “Program Qaseh Kebajikan ini merupakan satu inisiatif bagi membantu mahasiswa dan mahasiswi kolej yang memerlukan. Saya ingin berterima kasih kepada pihak Renongan Emas atas sumbangan ikhlas yang telah diberikan. Dengan adanya sumbangan prihatin ini, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban atau menghadapi masalah kewangan dikalangan mahasiswa dan mahasiswi sepanjang keberadaan mereka di kolej. Selain itu, program ini juga dapat membina satu komuniti yang sentiasa prihatin dari sudut kebajikan antara satu sama lain. Ianya sedikit sebanyak dapat mewujudkan kesejahteraan dalam kalangan pelajar.” ujar beliau.

Ucapan daripada wakil Syarikat Renongan Emas Engineering Sdn Bhd

Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan dari wakil Renongan Emas Engineering Sdn. Bhd. Abdul Ghani Isa Rulhak. “Program kebajikan seperti Qaseh Kebajikan ini amat wajar diteruskan di masa hadapan kerana manfaatnya seperti yang kita dapat lihat pada hari ini. Saya mendoakan agar sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Saya juga yakin yang sumbangan-sumbangan ikhlas ini akan mendatangkan impak yang positif dalam memastikan kelangsungan hidupan harian dan memberikan semangat kepada mahasiswa dan mahasiswi di kolej ini,” ujar beliau.

Gimik penyerahan ‘mock cheque’ sumbangan dari Abdul Ghani kepada Dr. Che Anuar sebagai sumbangan Tabung My Qaseh

Setelah ucapan tersebut, program diteruskan dengan penyerahan sumbangan My Qaseh dan juga cenderamata kepada para penerima. Seramai 80 orang penghuni Kolej Harun Aminurrashid yang hadir menyemarakkan lagi suasana. Namun begitu, program ini juga berjalan dengan lancar atas kerjasama dan usaha 28 orang Ahli Jawatan Kuasa yang menjalankan tanggungjawab mereka sepanjang program berlangsung.

Sesi pengagihan sumbangan kepada para penerima

Pengarah Program, Nur Ainin Sofiya Mohd Termizi memanjatkan rasa syukur atas kejayaan program ini. Beliau juga berterima kasih kepada pihak pengurusan kolej, dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Renongan Emas Engineering Sdn. Bhd atas penglibatan mereka dalam menjayakanprogram ini. Diharapkan agar program-program seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang agar kesejahteraan komuniti di kolej dapat dikekalkan. Selain itu, beliau juga berharap program seperti dapat menarik minat agensi-agensi dan pihak luar menjadi penyumbang kepada tabung My Qaseh yang mampu memberi manfaat kepada komuniti kolej yang memerlukan.