Oleh: Putri Erra Elyana Sharizall, Nur Rusydina Ramli & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib
Tanjong Malim, 27 November 2024– Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan ‘Program Data to Discovery: Bengkel SPSS dalam Penyelidikan Kuantitatif’. Program yang dikendalikan oleh Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO Sidang 2024/2025, bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa mengenai penggunaan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) dalam penyelidikan kuantitatif.
Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) yang asalnya dicipta pada tahun 1968 oleh Norman H. Nie, C. Hadlai Hull dan Dale H. Bent telah berkembang menjadi salah satu perisian statistik terkemuka di dunia. Pada awalnya, perisian ini hanya digunakan untuk menganalisis data dalam kajian ilmu sosial seperti psikologi dan sosiologi. Namun, penggunaan perisian ini telah meluas ke pelbagai bidang termasuk pemasaran, kesihatan, pendidikan, dan sains alam sekitar. Dalam konteks geografi, SPSS sering digunakan untuk memetakan pola statistik yang kompleks, menganalisis hubungan spatial dan memahami dinamik fenomena geografi seperti taburan penduduk, cuaca, atau perubahan penggunaan tanah.
Program bermula 8 pagi sehingga 12 tengah hari di bangunan E-Learning 8, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek teori penggunaan SPSS, namun turut didedahkan dengan aspek praktikal dalam penggunaan perisian SPSS. Ini tidak lain tidak bukan bertujuan bagi menyelaraskan objektif dengan matlamat yang lebih luas. Ia memberi fokus kepada elemen yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals-SDG), khususnya SDG 4 dan 17 yang menekankan Pendidikan Berkualiti (Quality Education) dan Kerjasama demi Matlamat (Partnership for the Goals).
Penekanan ini menunjukkan komitmen PERGEO dalam menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita disamping memupuk semangat kerjasama dan kerja berpasukan. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan jumlah penyertaan seramai 125 orang daripada mahasiswa UPSI khususnya aktivis PERGEO.
Program ini telah menjemput Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, UPSI, Prof. Madya Dr. Mazdi Marzuki untuk berkongsi ilmu tentang perisian SPSS. Program ini turut dihadiri oleh Yang DiPertua Persatuan Geografi Sidang 2024/2025, Muhammad Syafiq Razali dan dipimpin oleh Pengarah Program, Putri Erra Elyana Sharizall dan Timbalan Pengarah Program, Nur Afrina Md Sargowi, daripada Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO sidang 2024/2025.
Program ini memudahkan komunikasi antara penceramah dan mahasiswa UPSI dalam perkongsian ilmu terutama sekali dalam penyelidikan kuantitatif. Sememangnya dalam penyelidikan kuantitatif ini, ia memerlukan ketepatan data yang betul dan tidak boleh wujud sebarang kesilapan. Oleh itu, Exco Akademik dan Kerjaya mengambil peluang ini untuk memastikan mahasiswa UPSI dapat menguasai kemahiran menganalisis data dengan baik dan seterusnya dapat membantu mereka dalam menghasilkan Projek Tahun Akhir mereka dengan cemerlang.
Program ini sejajar dengan Amalan Pembangunan Lestari khususnya SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti yang bertujuan untuk memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.
Pengisian program dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi pertama dimulakan dengan perkongsian tentang aplikasi SPSS secara teori yang berlangsung selama hampir 1 jam. Seterusnya sesi kedua pula, merupakan sesi praktikal 1 dengan memasukkan data dan pengurusan data dalam SPSS. Akhir sekali sesi ketiga, iaitu sesi praktikal 2 dengan mengalisis statistik deskriptif dan inferensi menggunakan SPSS yang berlangsung selama hampir satu jam.
Diharapkan, melalui penganjuran program Data to Discovery: Bengkel SPSS dalam Penyelidikan Kuantitatif ini dapat menjadi motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa UPSI yang lain untuk sentiasa mencari peluang dalam menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran akademik serta profesion pada masa hadapan.