Bandar Sunway, Petaling Jaya – Pada 27 November 2024, Talenbank telah menganjurkan The 7th Graduates’ Choice Award (GCA), bertempat di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway.

GCA merupakan satu penghormatan kepada penjenamaan majikan siswazah yang dihormati dan berpengaruh di seluruh Rantau Asia-Pasifik, dimana ia memberikan pengiktirafan kepada industri yang berterusan menunjukkan kecemerlangan dan inovasi dalam pendekatan mereka untuk menarik dan mengekalkan bakat siswazah yang terbaik yang dihasilkan oleh institusi -institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia. GCA ini juga menjadi panduan dan rujukan yang berharga kepada pelajar-pelajar universiti, dimana ia menyenaraikan industry, serta majikan, yang paling menjadi buruan para graduan, dan senarai ini terbentuk dari undian yang sepenuhnya dilakukan oleh pelajar dan para graduan institusi pengajian tinggi.

Majlis yang bertemakan “Starlit Crescendo: Honouring Outstanding Employers with Orchestral Grandeur” ini betujuan untuk meraikan pemenang-pemenang anugerah dalam pelbagai kategori, dan memberi pengiktirafan kepada industri-industri serta institusi pengajian tinggi yang telah berjaya mencapai keunggulan dalam bidang masing-masing.

Majlis gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Prof. Madya Dr. Sharul Effendy bin Janudin serta wakil dari EDGE.

UPSI telah berjaya dipilih sebagai salah satu pemenang untuk kategori “Public Higher Education Institution”. Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang tinggi kepada UPSI yang telah berjaya melahirkan graduan-graduan yang menjadi rebutan industri besar dan terkemuka di Malaysia. Adalah diharapkan dengan penerimaan anugerah ini, UPSI akan terus giat menghasilkan graduan-graduan yang berkebolehan tinggi dan menguasai kemahiran-kemahiran terkini untuk menjadikan mereka graduan buruan industri di dalam dan luar negara.