Oleh: Norhayati Bustamy
Tanjong Malim, 16 November 2024: Program Canva Workshop: Zero to Hero ini telah diadakan pada 16 November 2024 iaitu bersamaan dengan hari Sabtu yang dilaksanakan secara atas talian menggunakan platform Google Meet. Program ini melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga mahasiswa/i daripada pelbagai universiti awam dan swasta. Selain itu, program ini turut terbuka kepada orang awam yang berminat untuk menyertainya. Peserta yang ingin menyertai program ini dikenakan yuran penyertaan yang sangat berpatutan mengikut kategori masing-masing, iaitu RM 3.00 untuk warga UPSI, RM 5.00 untuk pelajar universiti awam selain UPSI dan swasta serta RM 10.00 untuk orang awam.
Salah satu objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk membantu mahasiswa/lebih bersedia menghadapi cabaran dunia kerja yang semakin kompetitif dan berteknologi tinggi. Selain itu, program ini juga bertujuan menggalakkan penggunaan aplikasi Canva, yang merupakan alat reka bentuk grafik yang serba boleh bagi melahirkan mahasiswa yang kreatif dan inovatif dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT). Program ini turut disasarkan untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga kompeten dalam bidang ICT sesuai dengan keperluan dunia kerja masa kini.
Pada hari pelaksanaan program, semua ahli Majlis Tertinggi program dan ahli jawatankuasa program tiba seawal jam 8:00 pagi di bilik interaksi Fakulti Sains Kemanusiaan. Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program yang terlibat melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh dedikasi, termasuk AJK teknikal yang bertanggungjawab menyediakan platform Google Meet menggunakan komputer riba bagi memastikan kelancaran program secara dalam talian. Persiapan rapi ini mencerminkan komitmen tinggi penganjur untuk menjayakan program tersebut.
Program bermula dengan kehadiran penceramah jemputan, Puan Fatin Nazwa binti Jaafar, seorang alumni Universiti Malaya yang kini merupakan seorang pakar dalam bidang reka bentuk grafik. Selain itu, perasmi program Dr. Nadirah Mohd Azmi, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Malaysia, turut hadir untuk memeriahkan acara. Setelah menunggu kemasukan para peserta dan tetamu jemputan ke dalam Google Meet, lagu Negaraku, lagu Perak, dan lagu Ibu Kandung Suluh Budiman dinyanyikan bersama bagi menaikkan semangat patriotik dalam kalangan peserta.
Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada pengacara majlis, Siti Fatimah Mohd Isam, yang mengatur perjalanan program dengan penuh profesionalisme. Bacaan doa pula dipimpin oleh saudara Mohamad Azri Hisyam Abdul Kadir yang memberikan suasana penuh keberkatan sebelum beralih ke agenda seterusnya. Kemudian, pengarah program Erin Natasha Darmadie, memberikan ucapan inspirasi sebelum ucapan perasmian oleh Dr. Nadirah yang turut menekankan kepentingan inovasi dalam bidang ICT.
Setelah selesai ucapan perasmian, pengacara majlis mengumumkan pemberian ‘keyword’ pertama, iaitu ‘TEXT’, kepada para peserta untuk diisi dalam pautan Google Form sebagai tanda kehadiran. Acara diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Fatin Nazwa yang memberi tumpuan kepada cara-cara menggunakan aplikasi Canva secara kreatif dan efektif. Dalam sesi selama dua jam itu, peserta didedahkan kepada pelbagai fungsi dan ciri aplikasi Canva yang dapat digunakan untuk menghasilkan reka bentuk profesional, sama ada untuk kegunaan peribadi, akademik, atau profesional.
Selepas sesi perkongsian, urusetia program mengumpulkan soalan-soalan daripada peserta untuk sesi soal jawab bersama penceramah. Soalan-soalan ini meliputi pelbagai topik seperti strategi reka bentuk, cara memaksimumkan penggunaan Canva dan cabaran yang sering dihadapi oleh pengguna baharu. Sesi soal jawab ini memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan pencerahan langsung daripada pakar. Setelah soalan terakhir dijawab, sesi soal jawab berakhir dengan penuh kepuasan daripada semua pihak.
Pengacara majlis kemudian mengumumkan ‘keyword’ ketiga, iaitu ‘MAKER’, sebelum acara ditutup dengan ucapan penutup. Sesi fotografi juga diadakan untuk merakam kenangan bersama penceramah, ahli jawatankuasa program dan para peserta. Program ini bersurai dengan semangat dan inspirasi baharu dalam diri setiap peserta untuk terus mendalami dunia ICT.
Melalui program ini, mahasiswa/i dan orang awam di luar sana diharapkan dapat meningkatkan kreativiti serta inovasi mereka dalam menggunakan aplikasi Canva. Di samping itu, program ini juga menjadi penyuntik semangat untuk peserta lebih mendalami ilmu dalam bidang ICT, selaras dengan keperluan era digital masa kini. Pencapaian program ini dapat dilihat melalui kefahaman peserta terhadap teknik asas dan lanjutan Canva, serta kejayaan program menarik minat pelbagai kategori peserta dengan yuran penyertaan yang mampu milik.
Secara keseluruhan, program Canva Workshop: Zero to Hero telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasakan penggunaan ICT dan menggalakkan inovasi kreatif melalui aplikasi Canva. Ilmu yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta untuk keperluan akademik, kerjaya dan kehidupan harian.