Oleh: Norliza Johar

Tanjong Malim, 25 Oktober 2024 – Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) menganjurkan Eksplorasi Sinematik: Meneroka Dunia Pengetahuan.

Program Eksplorasi Sinematik: Meneroka Dunia Pengetahuan yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 7 dan 8 Kampus Sultan Azlan Shah Program ini dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Mohammad Basri Jamal dilihat mampu memberi keseimbangan antara akademik dan masa rehat berkualiti kepada mahasiswa di samping memperkukuhkan ikatan silaturahim dan ukhuwah antara peserta. Keterlibatan peserta yang ramai menyumbang kepada kejayaan penganjuran program ini. Program ini turut memupuk semangat keusahawanan dalam diri mahasiswa melalui jualan makanan dan minuman sepanjang program. Elemen keusahawanan dan minat menjana pendapatan melalui program ini menjadi asas kepada pembentukan keperibadian yang minat dalam bidang perniagaan.

Dalam ucapannya, Basri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pengarah program dan ahli pelaksana program yang bertungkus lumus dalam memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar. Beliau turut memberikan ucapan terima kasih kepada peserta program yang sudi melibatkan diri dalam menjayakan program yang dianjurkan oleh Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) ini.

Dengan adanya program ini, mahasiswa diberi ruang dan peluang untuk berinteraksi dan mengenali rakan baru dalam suasana santai. Melalui program ini juga dapat menggalakkan semangat kebersamaan dan kerjasama antara mahasiswa.  Kehadiran peserta yang ramai yang datang dari pelbagai latar belakang dapat membentuk satu ikatan persaudaraan yang lebih erat antara satu sama lain.

Kejayaan program ini disumbangkan oleh usaha gigih pengarah program, Nurfarah Syazwani Mohd Razib yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menyusun perjalanan program.

Bukan itu sahaja, sejajar dengan hasrat dalam memupuk semangat keusahawanan dalam diri mahasiswa/i, program ini membuka peluang kepada ahli pelaksana yang terdiri daripada mahasiwa/i untuk menceburui diri dalam bidang keusahawanan.

Mahasiswa/i yang terlibat dapat menimba ilmu dan pengalaman untuk memulakan perniagaan dengan usaha yang gigih dan kerjasama antara ahli pelaksana. Melalui program ini, pelbagai jenis jualan yang dijual telah mendapat sambutan daripada peserta yang menyertai program ini dan hasilnya, jualan berjaya dihabiskan sepanjang program berlangsung.

Tuntasnya, dengan pelaksanaan program ini diharapkan dapat memperkasakan minda mahasiswa dengan aktiviti positif serta memupuk pengalaman praktikal dalam dalam bidang keusahawanan dalam kalangan mahasiswa/i. Persatuan Pengajian Malaysia juga berharap agar program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang diikuti dengan pelbagai penambahbaikan seiring dengan peredaran masa.