Oleh: Nek Muhammad Syazuwan Nek Soh

Tanjong Malim, 21 Disember 2024- Program Jom Derma Darah ‘Every Drop Count’ diadakan bertujuan untuk membantu Unit Tabung Darah Hospital Slim River untuk meningkatkan stok bekalan darah di hospital kerajaan yang mengalami kekangan tabung darah. Objektif program ini adalah untuk mendedahkan kepada mahasiswa berkenaan kelebihan dan kepentingan menderma darah terhadap kesihatan mereka serta memberi peluang dan galakkan untuk mereka sama ada belum dan pernah menderma darah. Program ini secara tidak langsung memberikan pengalaman menderma darah kepada mahasiswa UPSI.

Seawal 8.00 pagi, ahli-ahli jawatankuasa program telah hadir bagi mempersiapkan meja pendaftaran dan menyusun atur perjalanan program. Para petugas kesihatan Hospital Slim River mempersiapkan alatan yang diperlukan untuk sesi menderma darah. Pada pukul 9:00 pagi, para penderma darah kelihatan tiba di ruang legar masjid dan sesi derma darah bermula. Seterusnya, para penderma darah ke kaunter pendaftaran terlebih dahulu yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Pendaftaran dan Jemputan. Para penderma darah yang akan menderma darah juga akan diambil maklumat dan diperiksa tentang status kesihatan mereka oleh para petugas kesihatan sebelum dibenarkan menderma darah. Sesi derma darah ini dikendalikan oleh para petugas hospital tersebut dan turut dibantu oleh ahli-ahli jawatankuasa program. Sesi derma darah berjalan lancar dan para penderma darah yang telah menderma darah diberikan saguhati dari pihak hospital sebagai tanda penghargaan. Paparan QR link kehadiran dan Mata Champ diberikan untuk diimbas dan diisi oleh para penderma darah.

Pada pukul 1:00 petang, sesi derma darah berakhir. Selepas berakhirnya sesi derma darah tersebut, program diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada wakil hospital iaitu Mohd Ajmal Abu Bakar, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Tabung Derma Darah, Hospital Slim River yang diuruskan oleh Ahli Jawatankuasa Sijil dan Cenderahati pada jam 1:30 petang. Program diteruskan lagi dengan sesi fotografi yang melibatkan semua para petugas kesihatan Hospital Slim River dan barisan ahli jawatankuasa pelaksana program yang dikedalikan oleh Ahli Jawatankuasa Publisiti dan Informasi. Selepas itu, para petugas kesihatan hospital dan ahli-ahli jawatankuasa program mengemaskan peralatan yang telah digunakan dan program berakhir pada jam 2:00 petang.

Secara keseluruhannya, Program Jom Derma Darah ‘Every Drop Count’ yang dikendalikan oleh barisan Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) telah menunjukkan keberhasilan apabila terdapat ramai penderma darah yang hadir untuk menderma darah. Selain itu, program ini turut meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menderma darah terhadap kesihatan mereka dan secara tidak langsung memberikan sumbangan yang berharga terhadap masyarakat. Akhir sekali, program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk nilai-nilai yang positif dalam kalangan mahasiswa UPSI.