Oleh : Nur Shaqira Nabila Jamal

Tanjong Malim, 12 Januari 2025– Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, begitulah semangat yang ditunjukkan dalam Program Temasya Sukan Tradisi AT58 yang telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Malaysia. Program ini berlangsung dengan penuh semangat di Padang Utama, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menghimpunkan hampir 300 peserta yang terdiri daripada  mahasiswa AT58 dan pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Dr. Muhammad Nadzir Ibrahim, yang dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya pemeliharaan sukan tradisional sebagai sebahagian daripada warisan budaya negara. Menurut beliau, “Sukan tradisional bukan sekadar satu bentuk hiburan atau rekreasi, tetapi ia merupakan satu wadah yang menyatukan masyarakat, membentuk keperibadian, dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.” Beliau juga menyeru agar mahasiswa untuk terus memainkan peranan aktif dalam mengangkat budaya warisan agar tidak ditelan arus globalisasi.

This image has an empty alt attribute; its file name is Picture2-2-1024x683.jpg

Dalam pada itu Pengarah Program, Amy Suhaida Ismail turut memberikan ucapan penuh inspirasi kepada  mahasiswa AT58. Beliau menekankan bahawa penganjuran temasya ini bukan sahaja bertujuan untuk menghidupkan semula sukan tradisional, malah juga untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa pelbagai latar belakang. “Melalui aktiviti seperti ini, kita bukan sahaja mengenali permainan tradisional tetapi juga belajar tentang semangat berpasukan, kepimpinan, dan nilai-nilai persahabatan yang kukuh,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Secara keseluruhannya, matlamat utama program ini adalah untuk memartabatkan dan menghidupkan semula sukan tradisional yang semakin dilupakan dalam arus pemodenan. Oleh itu, antara sukan yang dipertandingkan termasuk galah panjang, lari dalam guni, tarik tali, dan tuju selipar. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut menguji kemahiran insaniah peserta seperti kerja berpasukan, komunikasi, serta kepimpinan. Tambahan pula, seramai 298 mahasiswa AT58 telah mengambil bahagian dalam temasya ini, dengan kehadiran Ketua Jabatan Pengajian Malaysia, Dr. Muhammad Nadzir sebagai perasmi serta beberapa pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia. Secara tidak langsung, kehadiran mereka menyerikan lagi program dan memberi semangat kepada  mahasiswa AT58untuk terus menghidupkan warisan budaya dalam bentuk aktiviti fizikal.

Selain itu, penganjuran Temasya Sukan Tradisi AT58 berjaya mencapai objektifnya dalam menggalakkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa. Malah, ia juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan sosial dan memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya sukan negara. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan sesi fotografi sebagai kenangan kepada semua yang terlibat.

Program ini membawa pelbagai kebaikan yang signifikan kepada masyarakat dengan membantu dalam pemeliharaan warisan budaya agar tidak lenyap ditelan zaman. Selain itu, sukan tradisional yang diketengahkan dapat menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu platform yang penuh kegembiraan dan semangat kekitaan selain dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya gaya hidup aktif dan sihat menerusi penyertaan dalam aktiviti fizikal. Seperti kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, penganjuran program sebegini mampu mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga warisan budaya serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cergas.

Dengan kejayaan ini, diharapkan temasya sukan tradisi ini dapat diteruskan pada masa akan datang, menjadikannya satu acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga UPSI. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, warisan sukan tradisional ini sewajarnya terus dipelihara demi kesinambungan budaya bangsa.