Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 13 Februari 2025 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan projek penanaman anak pokok buah-buahan di kampus universiti itu, sebagai sebahagian daripada Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) bersempena Program Transformasi Minda (PTM) MARDI 2025.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata inisiatif ini bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar tetapi juga memberi manfaat kepada pelajar, khususnya dalam bidang pertanian dan hortikultur.

“Kerjasama strategik ini memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar UPSI dengan memberi pendedahan praktikal mengenai teknik penanaman serta kepentingan pemeliharaan ekosistem hijau,”

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berucap semasa menyempurnakan Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) bersempena Program Transformasi Minda (PTM) MARDI 2025 di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Tegas beliau, usaha ini dapat membantu universiti dalam memperkukuhkan elemen pembelajaran berasaskan pengalaman dan amalan hijau di kampus.

“UPSI amat mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada keseluruhan ekosistem kampus.

“Dengan adanya penanaman pokok ini, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, nyaman dan lestari untuk komuniti universiti.

Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani (kiri) bergambar bersama Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff (tengah) diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin ketika sesi penyampaian cenderamata dalam Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) bersempena Program Transformasi Minda (PTM) MARDI 2025 di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan program berkenaan bertempat di UPSI Adventure Park, Pusat Kokurikulum, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI di sini, hari ini.

Tambah beliau, berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan, termasuk dengan penambahan jenis tanaman yang lebih pelbagai dan program pemantauan berterusan.

“Kami berhasrat untuk memperkukuhkan lagi program seperti ini agar dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar serta komuniti setempat.

“Kerjasama dengan agensi penyelidikan seperti MARDI amat penting dalam memastikan program ini berjalan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md menyiram sebuah anak pokok sebagai simbolik penyempurnaan projek penanam anak pokok di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani (tiga dari kiri) serta pengurusan tertinggi UPSI.

Sebanyak 35 anak pokok buah-buahan daripada pelbagai varieti disumbangkan oleh MARDI untuk ditanam di sekitar kawasan kampus, dalam usaha mempertingkatkan kehijauan persekitaran serta menyokong inisiatif pembangunan lestari.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata MARDI bakal merangka satu Memorandum Persefahaman (MoU) pada masa hadapan, bagi mengukuhkan penyelidikan hasil tanah dan tanaman di UPSI, khususnya di daerah Muallim.

“Kerjasama ini akan disepadukan bagi merancakkan dan memperluaskan lagi ekosistem yang terdapat di UPSI, selain memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik dalam bidang pertanian.

110 orang pegawai MARDI yang menyertai Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) bersempena Program Transformasi Minda (PTM) MARDI 2025 bergambar bersama di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Beliau turut mengumumkan bahawa pihak MARDI akan menyumbangkan lebih banyak benih dan pokok buah-buahan tempatan, khususnya durian daripada pelbagai varieti, untuk ditanam di kawasan kampus UPSI.

“Kami mahu memastikan kelangsungan penyelidikan serta amalan pertanian yang lebih mampan di UPSI. Dengan adanya tanaman seperti durian dan buah-buahan tempatan lain, ia akan memberi nilai tambah kepada kampus serta menjadi sebahagian daripada ekosistem penyelidikan pertanian yang lebih meluas.

Tambah beliau, pemerkasaan penyelidikan dan kerjasama antara UPSI dan MARDI adalah penting bagi meningkatkan ilmu dalam proses pertanian serta keterjaminan makanan.

“Melalui kolaborasi ini, kita dapat memanfaatkan kepakaran kedua-dua institusi dalam membangunkan penyelidikan yang berimpak tinggi untuk sektor pertanian negara.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md bersama Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta pengurusan tertinggi UPSI dan MARDI ketika melawat tapak penanaman anak pokok di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Program PTM yang diadakan di UPSI selama tujuh hari ini menyaksikan seramai 110 orang pegawai yang terdiri dari pelbagai jawatan telah diberi peluang bukan sahaja memahami asas perkhidmatan awam tetapi turut terlibat secara langsung dalam aktiviti komuniti yang memberi impak positif kepada kampus dan masyarakat setempat.

“Kerjasama antara MARDI dan UPSI yang telah terjalin sejak tiga tahun lalu dijangka terus diperluas dengan pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi, yang akan memberi manfaat kepada sektor pertanian serta masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Pengerusi Puspanita MARDI, Datin Nur Jannah Hassan; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Operasi), Dr Sanimah Simoh; Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, Dr. Zulhazmi Sayuti; Pengarah, Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim