Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 19 Februari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Perhimpunan Bulanan sempena Program Kesedaran Gaya Hidup Sihat bersempena Bulan Kesedaran Kanser Mulut dan Hari Kanser Sedunia peringkat Negeri Perak 2025, bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bahaya kanser mulut dan kepentingan langkah pencegahan awal.
Pengarah, Jabatan Strategik UPSI, Prof Dr. Azmi Mohamed berkata, program ini disifatkan sebagai platform terbaik untuk menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan mulut kepada masyarakat umum.
Menurut beliau, kesedaran awal adalah kunci utama dalam menangani isu kesihatan yang membimbangkan masyarakat pada masa kni.
“Pendidikan dan kesedaran memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat memahami bahaya kanser mulut dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegahnya.

Tegas beliau, bahawa menangani kanser mulut memerlukan usaha bersepadu dari semua pihak, termasuk individu, keluarga, komuniti dan institusi pendidikan.
“Kesedaran yang tinggi dan tindakan proaktif adalah kunci utama dalam usaha melindungi generasi akan datang daripada bahaya kanser.
“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat dan menggalakkan masyarakat untuk mengutamakan kesihatan.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan program tersebut yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti interaktif menarik turut disediakan sepanjang program ini berlangsung antaranya pemeriksaan gigi percuma, saringan kesihatan percuma, derma darah, saringan kecergasan serta bicara pergigian yang disampaikan oleh Pakar Bedah Mulut, Hospital Slim River, Dr. Harvinder Singh Dillon.
Turut juga disediakan pameran kesihatan seperti Sudut Tanya Pakar, Pemeriksaan mulut kendiri dan Kanser Mulut, Penguatkuasaan Pergigian, Cancer Care, Pergigiam Primer dan Pemakanan dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI.
Tambah beliau, inisiatif ini selari dengan usaha UPSI untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.
“Kami komited dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan, bukan sahaja dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti, tetapi juga komuniti sekeliling,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Salleh Zakaria, berkata bahawa program ini amat signifikan dalam usaha memperkasakan kesedaran masyarakat mengenai kanser mulut, selaras dengan tema tahun ini ‘Be Aware, Be Early, Your Mouth Matters’.

“Tema ini menekankan kepentingan kesedaran awal, pemeriksaan berkala, dan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan utama.
Beliau berkata, mengikut National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020, sebanyak 37.7% kes lesi mulut memerlukan rujukan.

“Statistik di Perak pada tahun 2024 juga menunjukkan bahawa 86.4% pesakit yang mempunyai lesi mulut menghadiri janji temu di Klinik Pergigian Pakar setelah dirujuk, sekali gus meningkatkan pengesanan awal kanser mulut.
Tambah beliau, kanser mulut sering dikesan pada peringkat lewat, yang mengurangkan peluang rawatan berkesan.
“Oleh itu, usaha promosi pergigian perlu dipergiatkan agar masyarakat lebih cakna tentang kesedaran kanser mulut dan kualiti hidup mereka di masa akan datang.
Tambah beliau lagi, beberapa elemen utama boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran kanser mulut, termasuk pendidikan dan penyediaan bahan maklumat, amalan pemakanan sihat, serta penjagaan kesihatan pergigian profesional.

“Pemeriksaan pergigian berkala, menghentikan tabiat merokok dan mengamalkan teknik penjagaan kesihatan mulut yang betul adalah langkah-langkah mudah tetapi sangat penting dalam mencegah kanser mulut,” ujar beliau.
Hadir sama Pengarah Pusat Kesihatan UPSI, Dr. Farah Salwani Che Ku Razak; Penasihat Undang-Undang UPSI, Puan Salwati Mohd Aris; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril; Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad
