Oleh: Cik Adibah Yasmin Abdul Razak

Tanjong Malim, 23 Januari 2025 – Pusat Wakaf, Endowmen dan Zakat UPSI (WEZAS) dengan penuh penghormatan menerima kunjungan delegasi Wakaf Diraja Perak pada hari ini, 23 Rejab 1446H.

Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik, tetapi juga membuka ruang kerjasama dalam memperkasa pembangunan wakaf yang lestari, dengan impak positif yang jauh lebih besar kepada masyarakat dan ummah.

Dalam pertemuan ini, pelbagai peluang dan prospek kolaborasi antara WEZAS dan Wakaf Diraja Perak dibincangkan, khususnya dalam memajukan inisiatif wakaf yang mampu merangsang pembangunan pendidikan, kebajikan, dan ekonomi umat Islam.

Kerjasama ini diharapkan dapat mempercepatkan proses pemerkasaan institusi wakaf sebagai pemangkin utama kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan mampan yang memberi manfaat berpanjangan.

Hadir dalam sesi perbincangan ini ialah Bendahari UPSI, Mohd Najib Mohamed, bersama Pengarah WEZAS UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, serta wakil-wakil delegasi wakaf di raja perak daripada kedua-dua pihak yang berkongsi aspirasi dan komitmen padu untuk merealisasikan agenda wakaf.

Menerusi sesi taklimat yang dijalankan, pihak WEZAS memberikan perlaksanaan wakaf pendidikan di UPSI menerusi pembangunan fasiliti wakaf Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami serta perolehan layanan perlepasan cukai untuk sumbangan wakaf menerusi seksyen 44(11D) wakaf.

Kunjungan ini juga menjadi medan untuk pertukaran pandangan yang membina dan perkongsian pengalaman dalam meningkatkan sistem pengurusan wakaf yang lebih cekap dan berkesan.

Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif, Pengarah WEZAS UPSI, berkongsi pengalaman dalam usaha untuk menggalakkan sumbangan wakaf secara berterusan menerusi pelbagai platform yang telah disediakan.

Sumbangan yang dilakukan adalah berasaskan konsep wakaf secara berterusan. Sumbangan wakaf ini diharapkan akan memberi impak yang besar kepada keberlangsungan program-program wakaf demi manfaat ummah.

Dengan terjalinnya hubungan erat antara WEZAS dan Wakaf Diraja Perak, diharapkan inisiatif yang dicetuskan akan membuahkan hasil yang lebih besar dan terus berkembang untuk membawa pembangunan wakaf yang inklusif, berdaya maju, serta memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat.