Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Siti Fatimah Mohamed

Tanjung Malim, 17 Februari 2025 – Sekolah Rendah Seri Budiman, UPSI telah memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2025/2026 dengan penuh semangat dan keterujaan. Seramai 58 orang murid hadir pada hari pertama, terdiri daripada 30 orang murid Tahun 1 dan 28 orang murid Tahun 2.

Seawal pagi, murid-murid tiba di sekolah dengan wajah yang ceria dan penuh rasa ingin tahu. Mereka kemudian menuju ke kelas masing-masing untuk memulakan perjalanan baharu dalam dunia pembelajaran.

Bagi murid Tahun 1, hari pertama ini menjadi pengalaman yang sangat bermakna kerana mereka mula mengenali suasana sekolah yang baharu.

Hari pertama persekolahan dimulakan dengan perhimpunan mingguan yang berlangsung di Laman Seri Budiman.

Dalam suasana yang penuh disiplin dan ceria, semua murid berkumpul untuk mendengar amanat dan kata-kata semangat daripada pihak sekolah.

Perhimpunan ini turut menjadi platform bagi memperkenalkan barisan guru kepada murid-murid, terutama kepada pelajar Tahun 1 yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah ini.

Dalam ucapan alu-aluan, Chief of Education, Dr. Kama Shaffeei, menyampaikan kata-kata semangat serta mengucapkan selamat datang kepada semua murid baharu.

Beliau menekankan kepentingan disiplin, kesungguhan dalam belajar, serta menggalakkan murid-murid agar menikmati pengalaman persekolahan dengan penuh minat dan kegembiraan.

Seterusnya sesi taklimat khas telah diadakan di dalam kelas untuk membantu mereka menyesuaikan diri. Dalam sesi ini, guru-guru menerangkan peraturan asas sekolah, rutin harian, serta memperkenalkan mereka kepada persekitaran baharu.

Murid-murid juga diberikan pendedahan awal mengenai jadual pembelajaran dan aktiviti sekolah agar mereka lebih bersedia menghadapi hari-hari mendatang.

Bagi memastikan kelancaran minggu pertama persekolahan, pihak sekolah telah merancang minggu orientasi khas untuk murid Tahun 1.

Sepanjang minggu ini, pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan bagi membantu mereka menyesuaikan diri, mengenali rakan-rakan baharu, serta membina keyakinan diri dalam suasana pembelajaran yang lebih formal.

Dengan bimbingan para guru yang dedikasi dan persekitaran sekolah yang mesra, diharapkan semua murid dapat menikmati pengalaman awal persekolahan mereka dengan penuh keseronokan dan motivasi untuk terus belajar.

Hari pertama ini telah berjalan dengan lancar dan teratur. Semangat yang ditunjukkan oleh murid-murid jelas membuktikan kesediaan mereka untuk memulakan perjalanan ilmu yang baharu.

Dengan permulaan yang baik ini, diharapkan sesi persekolahan tahun 2025/2026 akan menjadi satu pengalaman yang bermakna buat semua warga sekolah, khususnya murid-murid yang baru melangkah ke alam persekolahan rendah.