Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Cik Siti Fatimah Mohamed
Tanjong Malim, 4 Oktober 2024 – Bertempat di Pusat Sumber Sekolah Rendah Seri Budiman, diadakan satu Sesi Perkongsian Pintar Literasi – Kit JOBA yang dikendalikan oleh guru dari SK Peramu Jaya, Pekan Pahang, Cikgu Mohd Sobri.
Program ini yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari, telah melibatkan seramai 28 orang murid dari Sekolah Rendah Seri Budiman.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dengan menggunakan Kit JOBA ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran literasi murid, terutamanya dalam aspek membaca, menulis, serta memahami maklumat dengan lebih baik.

Kit JOBA yang digunakan dalam sesi perkongsian ini merupakan hasil daripada penyelidikan dan inovasi Cikgu Mohd Sobri bin Mohd Yusof bersama-sama Dr Kama Shaffeei dan telah memenangi pelbagai anugerah inovasi dan penyelidikan daripada tahun 2020 hingga 2023.
Inovasi ini juga akan dibangunkan dalam bentuk digital pada masa hadapan supaya lebih ramai murid yang akan mendapat faedah daripada penggunaan Kit JOBA ini.
Sepanjang sesi perkongsian tersebut, Cikgu Mohd Sobri telah berkongsi pelbagai teknik dan strategi pembelajaran yang berkesan dalam menguasai literasi.

Para peserta diberi peluang untuk berinteraksi, bertanya soalan, serta menjalani latihan praktikal yang dapat memperkasa kemahiran mereka dalam bidang literasi.
Pengalaman ini memberikan pendedahan yang amat berguna kepada murid-murid, khususnya dalam meningkatkan daya saing mereka di dalam kelas serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Sepanjang sesi perkongsian pintar literasi ini juga, murid-murid juga berpeluang untuk belajar dengan cara yang menyeronokkan melalui pelbagai aktiviti berasaskan permainan.
Antara permainan yang digunakan adalah Dam Gergasi, Trek Robotik JOBA , Monopoli JOBA dan Papan Target JOBA untuk mengasah kemahiran literasi dengan cara yang interaktif dan menarik.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja membantu murid-murid mengasah kemahiran membaca dan menulis, tetapi juga meningkatkan daya pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah mereka.
Melalui permainan ini, mereka dapat belajar sambil berseronok, sekaligus memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan dan memperkukuhkan kefahaman mereka terhadap konsep-konsep literasi yang diajar.
Harapan kami, dengan adanya program seperti ini, murid-murid dapat memanfaatkan ilmu dan teknik yang diperoleh untuk meningkatkan kemampuan literasi mereka secara keseluruhan.
Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Mohd Sobri kerana sudi meluangkan masa untuk menyampaikan ilmu yang cukup berharga kepada murid-murid disini.
Diharapkan juga agar lebih banyak sesi perkongsian pintar dapat diadakan pada masa hadapan, sebagai satu usaha untuk memperkasa kemahiran pembelajaran murid serta memberi inspirasi kepada mereka untuk lebih bersemangat dalam mengejar kecemerlangan akademik.