Oleh: Bazli Razak

Ipoh, 8 Oktober 2024 – Program Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) 2024 yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu persidangan menggalakkan penerokaan ilmu-ilmu baharu beserta teknologi bersama dengan warga intelek selain masyarakat umum.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, persidangan yang bertemakan ‘Menerajui Pendidikan Menerusi Kecerdasan Buatan’ ini berperanan sebagai gelanggang perkongsian idea dan pengetahuan.

Tambah beliau, melalui penganjuran persidangan ini berupaya menyatupadukan pemikir-pemikir terkemuka dalam pendidikan dan teknologi untuk mengeksplorasi potensi terbesar kecerdasan buatan dalam membentuk masa depan pendidikan.

“PKEP yang berobjektifkan untuk meneroka dan membentuk hala tuju inovatif dalam pendidikan yang diilhamkan oleh penggunaan kecerdasan buatan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem pendidikan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar menyampaikan kata aluan

“Melalui hasil kajian dan penemuan melalui wacana merangkumi pelajar pasca siswazah, ahli akademik, penyelidik, pengamal pendidikan dan industri dalam bidang pendidikan menjadikan persidangan ini sebagai medium untuk mereka mengembangkan ilmu pengetahuan mereka.

“Penganjuran PKEP adalah untuk mencipta platform untuk berkolaborasi dan pertukaran idea dalam kalangan ahli akademik, pengamal dan pemegang taruh dalam bidang pendidikan selain membincangkan dan mencari penyelesaian bagi cabaran kelestarian dalam pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan di institusi pendidikan,” ujar beliau dalam ucapan aluan majlis tersebut..

Sementara itu, CEO Digital Perak Corperation Holdings. Tuan Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir menyifatkan kerjasama strategik UPSI melibatkan Kerajaan Negeri Perak melalui persidangan ini merupakan usaha yang baik dalam menghimpunkan tenaga pakar dari pelbagai pihak dalam menjadikan pendidikan di negeri Perak lebih ke hadapan.

Menurutnya. revolusi digital telah memberikan impak yang mendalam pada hampir semua aspek kehidupan termasuk dalam dunia pendidikan.

“Di era ini, kecerdasan buatan memainkan peranan sentral dalam merancang ulang cara kita mengakses, menyampaikan dan mengamalkan ilmu.

CEO Digital Perak Corperation Holdings. Tuan Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir semasa menyampaikan ucapan perasmian PKEP 2024

“Saya mewakili agensi negeri Perak turut tidak terkecuali dalam pembangunan pendigitalan terutamanya dalam menerajui agenda ekonomi digital Negeri Perak dengan memperkasa dan memudahkan transformasi digital merentasi semua sektor.

“Diharapkan, teknologi AI bukanlah sekadar merujuk kepada pendidikan atau pemudahcara dalam tugas tetapi perlulah sebagai salah satu platform yang membantu kepada industri dan hubungan strategik korporat di antara agensi dalam dan luar negara.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh Perak anjuran Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI).

“Saya percaya PKEP bakal membuka banyak ilmu baharu sesuai dengan kecerdasan buatan yang merupakan teknologi potensi besar dalam bidang kehidupan termaasuk perubatan, perniagaan, pendidikan dan penyelidikan.

“Saya yakin penganjuran PKEP ini bakal melonjakkan nama UPSI sebagai peneraju pendigitalan negara khasnya dalam pendidikan sesuai dengan peranan universiti sebagai Universiti Pendidikan terulung  negara,” tambah beliau.

Sesi ucaptama yang disampai oleh wakil dari UUM

PKEP diadakan pada 8 hingga 9 Oktober 2024 dengan penyertaan lebih kurang 50 orang peserta melibatkan sesi pembentangan selari dalam satu Bengkel Penulisan Manuskrip Menggunakan Aplikasi AI dan Penyampaian Anugerah Kertas Kerja Terbaik.