Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Tanjung Malim, 3 Oktober 2024- Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan delegasi pengusaha dan guru prasekolah dari Kazakhstan dalam satu program lawatan sambil belajar sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan profesional mereka.

Lawatan tersebut melibatkan 28 peserta yang terdiri daripada pengusaha prasekolah, guru, serta dua orang pengurus dan pengiring pada 3 Oktober 2024.

Program yang diadakan pada hari Khamis ini memberikan peluang kepada kedua-dua buah negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Sesi taklimat yang dijalankan merangkumi pelbagai topik, termasuk amalan terbaik dalam pendidikan awal kanak-kanak, penyelidikan terkini, serta inisiatif NCDRC dalam menyokong perkembangan kanak-kanak di Malaysia.

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr Mazlina Mustafa, program seperti ini sangat penting untuk mengukuhkan hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa.

“Kehadiran delegasi dari Kazakhstan ini bukan sahaja membuka peluang kepada pertukaran idea dan inovasi, tetapi juga membantu memperkenalkan Malaysia sebagai rujukan utama dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Selain sesi taklimat, delegasi turut berpeluang melawat fasiliti NCDRC, termasuk makmal penyelidikan dan ruang pembelajaran kanak-kanak, yang direka untuk menyokong pelaksanaan kajian dalam bidang perkembangan dan pendidikan kanak-kanak.

Pertukaran cenderamata plak antara pihak Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dengan pihak Kazakhstan.

Mereka juga mengadakan perbincangan strategik bersama pihak pengurusan NCDRC untuk meneroka peluang kerjasama masa hadapan dalam penyelidikan, latihan, dan pembangunan profesional.

Lawatan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Kazakhstan dalam usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di kedua-dua negara.