Oleh: Nuralya Fatini
Tanjong Malim, 2 Oktober 2024 – Majlis Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 2024 bersamaan 1446H diadakan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini anjuran di bawah Pusat Islam UPSI dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Muallim (JAIPk), Pejabat Baitulmal Daerah Muallim serta Majlis Agama Islam dan Adab Melayu Perak(MAIPk).

Kesemua kontinjen yang mewakili setiap jabatan, fakulti, majlis perwakilan pelajar dan banyak lagi telah berarak sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Bermula dari Arena UPSI hingga ke Dewan Tuanku Canselor UPSI. Setelah itu, semua peserta dan kakitangan berkumpul di dewan bagi meneruskan agenda majlis.


Majlis dimeriahkan dengan persembahan oleh kumpulan nasyid D’Kesakti UPSI. Mereka mendendangkan lagu berjudul Fatamorgana dan Suci Sekeping Hati yang penuh dengan tauladan dan nasihat.
Setelah itu, majlis dilengkapkan dengan ucapan Professor Dato’ Dr Md Amin Bin Md Taff, Naib Canselor UPSI. Beliau juga menyelitkan nasihat agar mencontohi sifat kepimpinan Rasulullah SAW yang sememangnya hebat dan harus dijadikan pedoman. Antaranya, sikap jujur dan amanah yang Rasulullah SAW terapkan dalam pemerintahan baginda.

Sebelum sesi penyampaian berilmiah dimulakan, Alfadhil Ustaz Mohd Ali Abdul Malek telah memimpin bacaan doa agar majlis ilmu bertambah berkat pada pagi itu. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ceramah bertajuk “Padamu Kekasih” yang disampaikan oleh Dr Mohd Arif bin Kasmo.
Dr Mohd Arif menyampaikan perjalanan hidup Rasulullah SAW dalam memastikan umat baginda mempunyai rujukan dan pegangan setelah ketiadaan baginda.
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Aku meninggalkan dua hal di tengah kalian; selama berpegang pada keduanya, kalian tidak akan tersesat selamanya: yaitu kitab Allah dan sunah rasul-Nya,” (HR Imam Malik). Maka, dari hadis ini dapat dilihat betapa besarnya kasih Rasulullah SAW terhadap umat yang hidup selepasnya.
Beliau mengulas serba sedikit berkaitan surah terpendek dalam Al-Quran, iaitu Surah Al-Kautsar yang mempunyai tiga ayat sahaja. Perkara yang menariknya, surah ini mengandungi 10 perkataan dan 10 huruf bagi setiap ayat. Justeru, surah ini berakhir dengan huruf yang sama, iaitu Ra yang merupakan huruf kesepuluh dalam susunan Hijaiyah.
Melalui perkara ini, terbuktilah firman Allah SWT, “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya”. (QS. al-Hijr, 15:9). Jelaslah bahawasanya Al-Quran itu terpelihara dan tidak mampu ditiru dan diubah oleh manusia. Hal ini disebabkan oleh Al-Quran itu memiliki polanya yang tersendiri.
Beliau juga menceritakan sunnah Nabi Muhammad SAW yang beribadah di atas tanah tidak beralaskan tikar mahupun sejadah. Ini perkara yang perlu diamalkan kerana menurut sains, tanah memiliki ion-ion yang mampu diserap oleh tubuh badan manusia.
Ion-ion yang bergerak masuk ke dalam tubuh manusia akan mengembalikan keseimbangan cas-cas ion dalam tubuh. Ini akan membuatkan tubuh menjadi lebih sihat dan membantu dalam kurangkan risiko diserang penyakit.
Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah kepada peserta perarakan Maulidur Rasul. Pemenang bagi kategori sepanduk terbaik dijuarai oleh Fakulti Sains dan Matematik (FSMT), diikuti Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) serta Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Seterusnya, bagi kategori perarakan terbaik tempat pertama diraih oleh FSMT, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh JPPHB dan Portfolio Naib Canselor. Bagi kategori terakhir iaitu pakaian terbaik dijuarai oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), diikuti FSMT dan Fakulti Komputeran dan Metateknologi (FKMT).
Akhir sekali, johan bagi keseluruhan untuk perarakan Maulidur Rasul bagi tahun 1446H dengan hadiah bernilai RM 3 000 disandang oleh Fakulti Sains dan Matematik (FSMT). Majlis ditamatkan setelah selesainya sesi bergambar secara beramai-ramai.