Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ustaz Nor Azamir bin Haji Alias dan Prof. Dr. Mohd Azlan bin Nafiah, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti bersama-sama penerima waqaf al-Quran

Oleh: Cik Afifah Adriana Aznan

Tanjong Malim, 9 Oktober 2024 – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menggerakkan inisiatif dalam memperkukuh nilai pendidikan dan keagamaan melalui waqaf al-Quran.

Majlis Penyerahan Waqaf al-Quran kepada sekolah-sekolah, surau dan masjid di Daerah Muallim dan beberapa sekolah di Negeri Selangor dilaksanakan di Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI dan dirasmikan oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, petang tadi.

Turut hadir, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ustaz Nor Azamir Haji Alias bagi menyempurnakan dan memeriahkan majlis.

Suasana sekitar Majlis Penyerahan naskhah al-Quran

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, sebanyak 1,301 naskhah al-Quran telah diserahkan dalam majlis ini.

“Naskhah al-Quran yang diserahkan ini adalah sumbangan orang ramai yang inisiatifnya digerakkan oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya”, ujarnya lagi.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ustaz Nor Azamir bin Haji Alias memberi ucapan kata aluan

Sumbangan naskhah al-Quran kepada institusi pendidikan dan tempat ibadah ini menjadi tanda komitmen dalam membangunkan masyarakat yang berilmu dan berakhlak di samping menjadi titik tolak bagi mengembangkan pendidikan al-Quran dalm erti kata membaca dan memahami al-Quran.

Penyerahan waqaf al-Quran oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ustaz Nor Azamir bin Haji Alias diiringi Prof. Dr. Mohd Azlan bin Nafiah, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata Majlis Penyerahan al-Quran ini bukan sahaja sebagai satu simbolik, tetapi juga sebagai satu usaha untuk memperkukuh pemahaman dan pengalaman ajaran islam.

Gerak kerja pengagihan waqaf al-Quran
Gerak kerja pengagihan waqaf al-Quran

“Diharapkan kerjasama antara UPSI dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya ini akan berterusan dan memberi impak yang besar kepada masyarakat terutama kepada golongan pelajar dalam menghayati ajaran Islam”