Oleh: Muhd Ibrahim bin Muhamad Damanhuri & Adibah binti Abu Bakar

Tapah, 9 Oktober 2024 – Karnival STEM anjuran SMK Dato’ Panglima Perang Kiri berjaya menarik minat ratusan murid tingkatan satu hingga empat serta guru-guru di sekitar Tapah. Dalam karnival ini, empat duta STEM dari kalangan pelajar Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama sebuah bas pendidikan telah ditempatkan di Dataran Panglima. Bas ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan teknologi moden yang menarik, termasuk set realiti maya (VR) dan beberapa aktiviti sains yang interaktif.

Para murid berpeluang untuk merasai pengalaman ‘hands-on’ yang menyeronokkan. Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah sesi realiti maya, di mana para murid dapat melihat dan berinteraksi dengan simulasi STEM secara maya. Selain itu, murid juga diperkenalkan kepada alat-alat teknologi canggih yang berkaitan dengan bidang sains dan matematik.

“Kami gembira melihat sambutan yang sangat menggalakkan daripada murid-murid di sini. Melalui program ini, kami berharap dapat menyemai minat yang mendalam terhadap bidang STEM dalam kalangan generasi muda,” kata salah seorang duta STEM UPSI.

Pameran yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1.30 petang ini bukan sahaja memberi peluang kepada murid untuk mendalami ilmu sains dan teknologi, malah turut memberikan pendedahan tentang aplikasi STEM dalam kehidupan seharian. Kejayaan acara ini jelas menggambarkan semangat dan minat yang tinggi terhadap pendidikan STEM di kalangan murid sekolah.

Karnival STEM ini berjaya memberikan pengalaman yang baru dan berharga kepada murid-murid. Pihak SMK Dato’ Panglima Perang Kiri berharap untuk terus menganjurkan acara-acara seumpama ini bagi memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah.