Oleh: Afifah Adriana Aznan
Taiping, 4 Oktober 2024- Pasukan ResQ Team dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan misi bantuan banjir yang bertujuan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan kepada penduduk setempat di aiping, Perak dilanda banjir yang membawa kesan mendalam kepada penduduk tersebut.
Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong selaku ketua misi, berkata misi dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI ini melibatkan seramai empat orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UPSI.

“Dalam misi ini, ResQ Team UPSI telah menyalurkan barang sumbangan berbentuk makanan kering seperti beras, gula, bihun, kicap, sos cili, sardin, minyak masak dan biskut kepada 30 buah keluarga di dua lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor dan PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak”, ujarnya lagi.

Inisiatif ResQ Team UPSI dalam misi pasca banjir di Taiping ini menunjukkan kepedulian dan solidariti yang tinggi terhadap mangsa. Misi ini tidak hanya memberikan bantuan fizikal tetapi juga harapan kepada mangsa banjir, menunjukkan bahawa mereka tidak sendirian dalam menghadapi cabaran ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata dengan pelaksanaan misi ini, UPSI menegaskan bahawa pendidikan dan kemanusiaan berjalan seiring, dan setiap usaha kecil yang dilakukan ini dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat.

“Pihak Pengurusan UPSI menyokong penuh usaha ini, menunjukkan komitmen universiti dalam misi sosial dan kemanusiaan dan berharap agar inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan organisasi untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.