Sesi bergambar bersama peserta program Bicara Santai: Di Sebalik Angka Dan Kata

Oleh: Dr. Sabarina Shafie,  Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi dan Nor Zulaikhar Othman

Tanjung Malim, 10 Oktober 2024 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) melaksanakan program Bicara Santai: Di Sebalik Angka Dan Kata bersempena penganjuran program Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24) pada 10 Oktober 2024 bertempat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Program Bicara Santai: Di Sebalik Angka Dan Kata bertemakan forum perkongsian oleh penceramah jemputan Dr. Nor Afzalina Azmee yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Matematik.

Sesi perkongsian pengalaman daripada Dr. Nor Afzalina Azmee

Beliau juga merupakan penulis novel yang dikenali dengan nama pena Nia Azalea. Melalui program ini, perbincangan adalah mengenai perkaitan, perbezaan dan cabaran dalam bidang Matematik dan bidang penulisan kreatif serta perkongsian pengalaman Dr. Nor Afzalina sebagai ahli akademik bidang Matematik dan penulis profesional dalam bidang penulisan kreatif.

Sesi soal jawab daripada peserta program Bicara Santai: Di Sebalik Angka Dan Kata

Antara inisiatif program ini adalah untuk memberi peluang kepada peserta program untuk memahami bagaimana dua bidang yang sering dilihat sebagai bertentangan, iaitu matematik dan penulisan kreatif, boleh digabungkan dalam perjalanan kerjaya seseorang.

Program ini telah menerima sambutan positif apabila berjaya menarik seramai 193 penyertaan dalam kalangan pelajar dan pensyarah UPSI.

Jawatankuasa pelaksana program Bicara Santai: Di Sebalik Angka Dan Kata diketuai oleh saudara Muhammad Muqri Mohd Yusri selaku pengarah program dan dibantu oleh 26 orang ahli jawatankuasa.

Sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan

Program berlangsung selama dua jam dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati penghargaan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob dan sesi bergambar bersama penceramah dan peserta program.