Oleh: Bibiana Augustine
Tanjong Malim, 12 Oktober 2024 – Program “FSK Sport’s Day” ini merupakan sebuah program berbentuk sukan yang dianjurkan khas untuk mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada Fakulti Sains Kemanusiaan.
Pelbagai acara sukan yang dianjurkan antaranya adalah futsal, bola jaring, bola tampar dan larian 100 meter. Perbarisan dan acara tarik tali juga dilaksanakan bagi memeriahkan lagi program “FSK Sport’s Day”.


Program ini bertempat di Gelanggang Bola Tampar, Futsal, Bola Keranjang dan Padang Bola Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Program sukan ini dilaksanakan pada 12 Oktober 2024 (Sabtu) yang bermula pada pukul 7.00 pagi hingga 5.00 petang.



Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan, program ini bertujuan untuk mewujudkan program hari sukan sebagai program kolaborasi antara persatuan Fakulti Sains Kemanusiaan dalam usaha merapatkan lagi hubungan ukhuwah sesama mahasiswa dan mahasiswi.
“Selain itu, program ini juga merupakan satu langkah dalam usaha membudayakan sukan sebagai satu amalan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di FSK dengan harapan semua pelajar dapat kekal cergas dan cerdas.

“Penganjuran program ini juga dapat melahirkan semangat kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi terutamanya ahli jawatankuasa yang terlibat melaksanakan program ini.
“Dengan adanya program seperti ini, peserta akan mendapat manfaat dan info yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi.
“Di samping itu, ia diadakan agar dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah turut mempunyai kebolehan atau pengetahuan dalam bidang yang lain khususnya dalam bidang sukan,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan antaranya adalah aktiviti senamrobik, perbarisan, larian 100 m, futsal (L), bola jaring (P), bola tampar (L & P) dan tarik tali (L & P).
Aktiviti yang pelbagai ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa/i FSK. Setiap acara sukan yang dipertandingkan mendapat sambutan dalam kalangan pelajar FSK.