Oleh: Laila Mahsuri Lokman

TANJONG MALIM, 27 Februari – UPSI sekali lagi telah dipilih sebagai tuan rumah untuk 11th Batch Nihongo Partners Immersion Programme di bawah anjuran Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC) UPSI dengan kerjasama Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL).

Seramai 20 orang peserta dari Jepun telah mengambil bahagian dalam acara silang budaya antara Malaysia dan Jepun ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai penggunaan asas Bahasa Melayu sebagai komunikasi seharian dan pendedahan budaya tempatan kepada para peserta.

Setelah selesai latihan singkat ini, kesemua peserta yang terlibat bakal ditempatkan di sekolah-sekolah menengah terpilih seluruh Malaysia bermula 6hb Mac 2025 untuk tempoh 7 hingga 8 bulan sebagai pembantu guru Bahasa Jepun.

Slot Simulasi Bilik Darjah

Antara komponen penting yang diketengahkan sepanjang program ialah simulasi bilik darjah, permainan tradisi Melayu, pengalaman di klinik, pembelian barang di pasaraya dan persembahan budaya.

Para peserta digalakkan untuk menggunakan Bahasa Melayu ketika berkomunikasi di dalam latihan juga di luar latihan agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi di Malaysia.

Pengarah JFKL, Tuan Tsukamoto Norihisa berkata dalam ucapannya, bahawa semua peserta telah menerima pendidikan Bahasa Melayu sepanjang satu bulan sebagai persediaan awal sebelum datang ke Malaysia.

Persembahan dikir oleh peserta NP dan pelajar buddies

Acara penutup juga telah dimeriahkan dengan pelbagai jenis persembahan tempatan daripada NPs dan pelajar buddies seperti tarian Ngajat, tarian Inang, dikir puteri, nyanyian lagu kanak-kanak, pantun dan syair.

Salah seorang peserta NP, Morimitsu Takuya mengungkapkan rasa terima kasih beliau terhadap pelajar buddies, “Terima kasih kerana menerima kehadiran kami dengan penuh senyuman dan mesra”.

Turut hadir dalam majlis penutup ialah Pengarah JFKL – Mr. Tsukamoto Norihisa dan Pengarah IMC – Prof. Dr. Ramlee Ismail
Peserta NP dan pelajar Buddies bertukar hadiah sewaktu makan malam kebudayaan

Sepanjang program berlangsung, para NPs dan pelajar buddies berpeluang untuk berkongsi cerita mengenai keunikan budaya masing-masing dan berharap agar hubungan silang budaya ini dapat dieratkan lagi selama keberadaan mereka di Malaysia.