Oleh: Nur Ayuniey dan Norrulkamari Daud

Tanjong Malim, 20 April 2025 – Keindahan hijau dan kebersihan bukan hanya harapan, tetapi amanah fardhu kifayah dalam membentuk peribadi unggul bertunjangkan nilai insan bitara.

Melalui program United For Cleanliness anjuran Kolej Harun Aminurrashid, penghuni kolej bersatu tenaga dalam aktiviti gotong-royong tahunan dalam memastikan ekosistem kolej sentiasa kondusif.

Program yang dilaksanakan pada hujung minggu ini adalah bertujuan untuk menanamkan kesedaran kebersihan dalam kalangan penghuni kolej tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama.

Selain itu, dapat mengurangkan risiko penyakit berjangkit yang berpunca daripada persekitaran yang kotor seperti pembiakan nyamuk Aedes dan memastikan kawasan kolej kekal sentiasa bersih serta selesa untuk didiami.

Pengisian program ini lebih tertumpu kepada aktiviti gotong royong yang melibatkan seluruh warga kolej Harun Aminurrashid (KHAR).

Program pagi itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan juga ucapan daripada Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah.

Beliau menekankan kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat dan selesa. Ia bukan sahaja mencerminkan budaya hidup yang positif, tetapi juga menunjukkan nilai murni dalam diri kita sebagai individu yang prihatin dan cakna akan persekitaran.

Program sebegini akan berterusan dilaksanakan dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan kondusif serta selari dengan jenama UPSI sebagai universiti yang menerajui kebitaraan pendidikan, tambah beliau lagi.

Seterusnya, Dr. Muhammad Ridhwan bin Sarifin selaku ketua felo, menyatakan bahawa pelaksanaan amalan gotong royong dalam menjaga kebersihan adalah untuk memastikan persekitaran yang bersih, selesa dan terancang.

Ia merangkumi usaha membersihkan kawasan yang belum bersih serta mengekalkan kebersihan pada kawasan yang sudah bersih.

Pendekatan ini turut menyokong pelaksanaan amalan 4S (Simpan, Sisih, Susun dan Sapu) yang bertujuan mewujudkan ruang kerja dan kawasan sekeliling yang lebih efisien dan menyenangkan.

Selain itu, saudari Nurin Rozaini Azreen selaku Pengarah Program mengharapkan agar seluruh warga kolej khususnya penghuni KHAR, samada lelaki atau perempuan sama-sama menjaga kebersihan di kediaman masing-masing dan memastikan persekitaran yang sihat serta dapat mencegah penularan wabak penyakit yang boleh mengancam kesejahteraan penghuni kolej.

Pelajar telah mengambil langkah proaktif membersihkan kediaman masing-masing yang melibatkan aktiviti membersihkan ruang tamu, bilik tidur dan tandas di setiap rumah masing-masing.

Selain itu, pelajar juga diminta menjemur tilam dan bantal masing-masing untuk tujuan kebersihan di tempat tidur. Persekitaran kolej dan dobi juga dibersihkan supaya tiada air bertakung yang boleh mengundang kepada pembiakan nyamuk berjangkit.

Amalan kebersihan merupakan faktor yang besar dalam kemenjadian diri mahasiswa/i yang berdisiplin dan mampu mematuhi peraturan kolej serta sentiasa menekankan faktor kebersihan tempat tinggal sekaligus melatih pembinaan sifat timbang rasa sesama penghuni demi keselesaan bersama.

Program berakhir pada jam 12 tengahari setelah semua aktiviti pembersihan dalam dan luar tempat tinggal penghuni selesai.

Harapan semua pihak adalah agar kebersihan sentiasa diutamakan dan aktiviti gotong royong ini diteruskan secara berkala dalam memastikan suasana kolej sentiasa ceria dan lebih selesa dalam mencapai aspirasi kemenjadian akhlak siswa madani.