Oleh: Mus’ab Umair

Kuala Lumpur, 18 April 2025 – Keprihatinan dan semangat kesukarelawanan jelas terpancar dalam kalangan penghuni Kolej Awang Had Salleh (KAHS) yang merupakan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila mereka menganjurkan program kebajikan “Bakti Kasih 1.0: Piring Harapan” di bawah anjuran Exco Kebajikan dan Perkhidmatan sidang 2024/2025 yang dipimpin oleh saudara Mus’ab Umair. Program ini berlangsung di beberapa lokasi tumpuan gelandangan dan golongan miskin bandar sekitar ibu kota.

Program ini merupakan inisiatif murni oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) sidang 2024/2025 dengan cetusan idea daripada felo penasihat program, Encik Mohamad Afif Ammar bin Kamsani serta sokongan kolaboratif daripada Food For Gelandangan (FFG), mahasiswa Universiti Malaya (UM), dan tajaan utama daripada pihak F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. yang menaja minuman untuk diagihkan bersama pek makanan.

Lebih 100 pek makanan dan kit penjagaan diri telah diagihkan kepada lebih 90 penerima yang terdiri daripada gelandangan serta golongan berpendapatan rendah di sekitar Jalan Silang, Kota Raya Terminal Bus Station Plaza Seni dan Jalan Belia.

Sumbangan ini bukan sekadar makanan atau alatan keperluan harian, malah membawa mesej harapan, prihatin, dan kasih sayang daripada mahasiswa kepada masyarakat yang memerlukan.

Pengarah program, Mus’ab Umair, menyatakan bahawa Bakti Kasih 1.0 merupakan permulaan kepada siri program kebajikan yang dirancang untuk diteruskan secara berfasa.

“Kami percaya bahawa walau sekecil mana bantuan yang diberi, ia mampu memberikan impak besar kepada mereka yang memerlukan. Kami juga amat menghargai sokongan daripada F&N, FFG dan rakan-rakan dari UM yang bersama-sama menjayakan misi ini,” ujar beliau

Program ini turut disertai oleh 50 ajk dan sukarelawan, terdiri daripada pelajar UPSI, UM serta wakil NGO, yang bersama-sama menyumbang tenaga, masa dan semangat untuk menjayakan inisiatif ini.

Selain pek makanan, mereka turut menyerahkan kit penjagaan diri termasuk sabun, ubat gigi dan ubat nyamuk sebagai langkah menyokong penjagaan kebersihan dalam kalangan komuniti jalanan.

Salah seorang ajk, Aenycel Tety, berkongsi bahawa pengalaman ini membuka dimensi baharu dalam kehidupannya sebagai mahasiswa. “Melalui program ini, kami belajar tentang realiti kehidupan yang mungkin selama ini terlepas pandang. Ia bukan sekadar pengalaman, tetapi juga tanggungjawab sosial yang harus dipikul bersama,” katanya.

Felo penasihat program, Encik Mohamad Afif Ammar memaklumkan bahawa pengalaman berharga yang diperoleh ini sukar dicari ganti.“

Program ini merupakan program bersiri yang dirancang di bawah satu penjenamaan BAKTI KAHSIH yang bakal dijalankan pada setiap sidang MMK Kolej KAHS agar kesinambungan dan matlamat program dapat dicapai sesuai dengan tujuan Exco Kebajikan KAHS”.katanya.

Program BAKTI KAHSIH 1.0: Piring Harapan bukan sekadar satu usaha agihan makanan, tetapi lambang penyatuan mahasiswa, NGO, syarikat korporat dan masyarakat umum dalam menyemai rasa empati dan tanggungjawab sosial.

Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang demi membina masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.