Tanjong Malim, 18 April 2025 – Seramai 500 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Selangor telah menghadiri program Jerayawara Siswa #KitaSelangor Aidilfitri 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Arena Sport City, UPSI, pada jam 8.00 malam.
Program yang dianjurkan oleh Mahasiswa Anak Selangor (MASEL) dengan kerjasama Yayasan Selangor ini telah dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Tuan Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap alumni UPSI, serta Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
Matlamat utama program ini adalah untuk memperkukuhkan jaringan hubungan antara mahasiswa Selangor dan pemimpin negeri, di samping menggalakkan pembangunan sahsiah, kepimpinan, keusahawanan, dan semangat kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa. Ia juga menjadi platform yang signifikan dalam memperkasa jati diri mahasiswa secara holistik serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam pembangunan potensi anak Selangor.
Dalam ucapannya, Dato’ Menteri Besar Selangor menekankan kepentingan daya tahan dan kebijaksanaan mahasiswa dalam menghadapi cabaran dunia semasa, khususnya golongan bakal pendidik yang bakal membentuk masa depan negara.
“Mahasiswa hari ini, terutamanya bakal pendidik, perlu berdaya tahan dan bijak menyesuaikan diri dengan cabaran zaman. Mereka bukan sahaja pencorak masa depan keluarga dan komuniti, tetapi juga pemegang amanah kepada masa depan anak bangsa dan negara.”
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr Norkhalid Salimin, Pengarah Bahagian Komunikasi Koprat UPSI, Profesor Dr Mohd Izwan Shahril, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, YM Raja Nazirin Shah Raja Mohamad; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Muhammad; Ketua Yayasan MBI Selangor, Azri Zainal Nor; Ketua Setiausaha Sulit, Mohd Hidayat Sauffi; serta barisan penasihat MASEL iaitu Dr Omar Firdaus Mohd Said, Siti Salwa Jamaldin dan Dr Mohd Huzairi Mohd Sani.
Majlis diserikan dengan persembahan pembukaan oleh pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, manakala suasana jamuan makan malam dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan The Pegawai Band. Program turut menampilkan cabutan bertuah yang ditaja oleh Yayasan Selangor, dengan hadiah utama berupa dua buah motosikal, serta pelbagai hadiah menarik lain seperti kerusi gaming dan kelengkapan digital.
Dalam majlis yang sama, turut diumumkan penjenamaan semula persatuan mahasiswa Selangor daripada GEMASEK kepada MASEL, sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh identiti dan keberkesanan organisasi dalam menggerakkan potensi anak Selangor di peringkat universiti.
Dato’ Menteri Besar Selangor turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa kejadian letupan gas di Putra Heights, sebagai lambang keprihatinan dan solidariti Kerajaan Negeri Selangor terhadap rakyat.
Universiti merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan menyambut baik penganjuran acara seumpama ini demi pembangunan holistik mahasiswa UPSI.
