Oleh: Farah Adiba Zulkeflee

Tanjong Malim, 15 April 2025 – Kelab STEM ambassador di bawah STEM Nurturing Center, Fakulti Sains Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya membantu memeriahkan lagi satu program yang dianjurkan oleh Exco Media, Publisiti dan Informasi Kolej Ungku Omar Sidang Ayris 2024/2025 iaitu Zonakids Festival 2.0.

Program ini bertujuan untuk membina minat awal kanak-kanak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Melalui aktiviti menyeronokkan, kanak-kanak dapat memahami dan mengetahui konsep asas secara lebih mudah.

Program ini dikendalikan oleh lima orang ahli jawatankuasa terpilih yang memberikan komitmen penuh dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya dengan lancar.

Zonakids Festival 2.0 telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi sehingga 2.00 petang dan  bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis dimulakan dengan acara perasmian di Dewan Panggung Percubaan, UPSI yang dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan, barisan penganjur dan kanak-kanak dari pelbagai sekolah sekitar Tanjong Malim seperti Sekolah Kebangsaan Proton City dan Taska Tadika NCDRC UPSI.

Sesi berlangsung dengan penuh kemeriahan, dan keterujaan daripada para tetamu. Kehadiran ibu bapa membawa anak-anak mereka turut menambahkan lagi suasana mesra dan positif sepanjang program

Antara aktiviti utama yang dijalankan oleh kami termasuk penggunaan teknologi Virtual Reality (VR) dan robotik mBot. Melalui VR, kanak-kanak dapat meneroka dunia maya seperti angkasa lepas dan cuaca empat musim secara interaktif dan menyeronokkan.

Sementara itu, penggunaan mBot dapat memperkenalkan mereka kepada asas pengaturcaraan dan robotik dengan cara yang mudah dan menarik. Kedua-dua teknologi ini membantu pembelajaran lebih moden dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Seterusnya, program ini memberi manfaat bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada ahli Kelab STEM. Ahli Kelab STEM berpeluang untuk memperluas jaringan profesional mereka serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, melalui penglibatan ini, ahli Kelab STEM dapat mengasah kemahiran pengurusan acara dan komunikasi yang lebih efektif.

Pengalaman ini menjadikan mereka lebih berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam dunia pendidikan serta pembangunan masyarakat, sekali gus memberi sokongan positif kepada kemajuan bidang STEM di peringkat tempatan dan global.

Secara keseluruhan, diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih luas daripada komuniti.

Usaha sebegini bukan sahaja memupuk minat terhadap STEM, malah dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan yang progresif.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Zonakids Festival 2.0. Kelab STEM berharap dapat terus memainkan  peranan aktif dalam memupuk minat terhadap STEM di peringkat akar umbi.