Barisan pengurusan dan staf NCDRC bergambar bersama Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPSI

Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Tanjong Malim, 22 April 2025 – Kemeriahan Syawal disambut penuh warna-warni dan kemesraan menerusi Majlis Serumpun Aidilfitri anjuran TASKA dan TADIKA Bitara, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), UPSI. Majlis ini menjadi medan penyatuan warga kerja, ibu bapa dan kanak-kanak dalam suasana mesra, inklusif dan penuh makna.

Majlis bertambah meriah dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat yang dihormati, antaranya Profesor Emeritus Dato’ Dr. Aminah Ayob, tokoh pendidikan negara; Tuan Haji Mohamad Najib Mohamed, Bendahari UPSI; Profesor Dr. Azmi Mohamed, Pengarah Jabatan Strategik UPSI; serta Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah, mantan Timbalan Pengarah NCDRC. Turut hadir ialah Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPSI, yang memberikan ucapan penuh inspirasi.

Kemeriahan majlis diserikan dengan persembahan khas oleh 11 orang guru pelatih NCDRC, yang berjaya menceriakan suasana dengan tarian dan nyanyian bertemakan Hari Raya. Kanak-kanak turut terhibur sambil mempersembahkan gelagat manja mereka di hadapan para jemputan.

Menariknya, dua lokasi utama telah digunakan serentak untuk menjamu para hadirin iaitu Dewan Makan NCDRC dan Dewan Jauhar yang dihias indah dengan suasana raya lengkap dengan lagu-lagu klasik dan aroma hidangan tradisional yang menggoda selera.

Lebih istimewa, ibu bapa hadir seiringan dengan anak-anak dalam busana raya sedondon, menjadikan majlis lebih berseri dan menunjukkan sokongan padu terhadap penganjuran ini. Malah, mereka turut berkongsi juadah raya bersama warga NCDRC, menjadikan suasana lebih akrab dan penuh kasih sayang.

Majlis ini membuktikan bahawa pendidikan awal tidak hanya berlaku dalam bilik darjah, tetapi juga melalui pengalaman bermakna seperti sambutan perayaan, yang mengukuhkan nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan semangat komuniti. NCDRC terus komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeluruh dan penuh kasih sayang untuk generasi masa hadapan.