Oleh: Marchella Mieneva Ak Donny
Tanjong Malim, 26 April 2025 – Bagi mewujudkan suasana yang aktif dalam kalangan mahasiswa, Exco Blok Kediaman 4 bersama-sama Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 4, Kolej Harun Aminurrashid, sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Battle of The Titans: “Hanya Yang Terkuat Akan Berjaya”.
Program ini telah berlangsung pada 26 April 2025 dari pukul 8.30 pagi hingga 11.00 pagi, melibatkan seramai 65 orang peserta yang turut bersama-sama menyemarakkan suasana.
Program yang disusun oleh Exco Blok Kediaman 4 ini berkonsepkan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa, dengan menampilkan pelbagai slot aktiviti menarik dan santai serta membuka ruang kepada mahasiswa untuk memupuk semangat kerjasama erat dalam kalangan ahli kumpulan mereka.


Intipati program ini melibatkan perlawanan antara 13 kumpulan yang terdiri daripada pelajar semester 1 hingga semester 7. Mereka bertanding dalam pelbagai permainan yang diadakan, antaranya Keretapi Manusia, Lukisan Buta, Tanduk Selagi Boleh, Lari dengan Gaya, Manusia dan Bentuk.
Program ini secara tidak langsung telah mengukuhkan hubungan dalam kalangan penghuni dan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman 4.
Program yang bertemakan “Hanya Yang Terkuat Akan Berjaya” ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Felo Blok 5 Kolej Harun Aminurrashid iaitu Encik Mohd Izzat Abdul Rahman.
Dalam ucapan beliau, beliau menekankan bahawa semangat kerja berpasukan yang diterapkan melalui aktiviti sukan ini mampu menghapuskan jurang hubungan antara penghuni kolej.
Hal ini sekali gus dapat memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat penghuni kolej yang berbilang kaum.



Ketua Blok Kediaman 4 yang juga merupakan Pengarah Program Battle of The Titans: “Hanya Yang Terkuat Akan Berjaya” turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Felo Blok Kediaman 5, Ahli Jawatankuasa Pelaksana, dan semua pihak yang terlibat.
Menurut beliau, program ini dianjurkan bagi menguatkan hubungan dalam kalangan penghuni melalui aktiviti menyeronokkan, di samping membentuk generasi pelajar yang cergas fizikal, cerdas minda, dan teguh jati diri.
Beliau turut menyatakan harapan agar semua peserta memperoleh pengalaman yang bermakna melalui program ini.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga, serta kepada semua peserta yang terlibat.
Setelah majlis penyampaian hadiah, sesi fotografi diadakan bersama sebagai tanda kenangan.
Program berakhir tepat pada jam 11 pagi setelah semua kumpulan peserta memperoleh hadiah masing-masing.
Diharapkan agar objektif program ini tercapai dengan mengeratkan hubungan sesama penghuni sekali gus meningkatkan semangat kesukanan.
