oleh: Hasya Hayazi

Tanjong Malim, 15 April 2025– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menjadi medan peneraju kecemerlangan pendidikan apabila berlangsungnya Program Zonakids Festival 2.0: Unleash Your Innerchild with STEM! yang dianjurkan oleh Exco Media, Publisiti dan Informasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar 2024/2025 Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC).

Program ini berlangsung dengan meriahnya di Panggung Percubaan dan Dewan Tuanku Canselor (DTC), UPSI baru-baru ini.

Program ini bertujuan untuk memupuk minat setiap pelajar di setiap peringkat umur dari tadika hinggalah IPTA terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mendedahkan mereka kepada pelbagai bentuk inovasi terkini yang relevan  dengan keperluan masa kini.

: Gambar kanak-kanak menunjukkan hasil bridge building yang mereka telah buat kepada juri
Gambar kanak-kanak menjalankan aktiviti di booth pameran

Seramai 2,000 pengunjung hadir dalam program ini, terdiri daripada pelajar pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dari sekitar Tanjong Malim serta Mahasiswa dan Mahasiswi UPSI.

Dengan kolaborasi bersama pelbagai pihak program Zonakids Festival 2.0 ini telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti yang mengujakan serta bermanfaat. Antara pihak yang berkolaborasi dengan Kolej Ungku Omar untuk menjayakan program ini ialah Yayasan MR. DIY, Sugarbomb, Bioeconomy Corporation, Reverbrew Coffee, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, Mechabotics, Universiti Pendidikan Indonesia (UPI), Continuum Mechatech dan LightArtVR.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan maskot, cabutan bertuah, baucaristimewa daripada Reverbrew Coffee, Pengalaman Realiti Maya bersama LightArtVR,  tayangan video khas dari Indonesia, bermain dengan robot bersama Mechabotics, gerai-gerai jualan basah dan kering dan pelbagai pertandingan yang menarik minat pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

Gambar Sesi Talk bersama Amin dan Abid
Gambar pengucapan daripada Pengarah Program

Salah satu acara yang mencuri perhatian pengunjung ialah pertandingan Genius Innovakids Showdown, yang melibatkan penyertaan aktif murid-murid sekolah rendah dari sekitar Tanjong Malim.

Pertandingan ini memberi peluang kepada peserta muda untuk mengetengahkan idea kreatif dan ciptaan inovatif mereka dalam bentuk projek sains mudah, robotik, dan teknologi asas.

Lebih menarik lagi, program ini turut memberi ruang kepada golongan prasekolah melalui pertandingan STEM-Tastic Bridge Building, yang disertai oleh kanak-kanak pra-sekolah.

Dengan bimbingan guru, mereka membina struktur jambatan menggunakan bahan asas daripada bahan kitar semula. Keletah dan semangat mereka berjaya mencuri perhatian para hadirin, menunjukkan bahawa pendidikan STEM boleh dipupuk seawal usia.

Gambar pengucapan daripada Pengarah NCDRC
Gambar bersama peserta dan pengunjung Zonakids Festival 2.0 beserta Pengarah NCDRC

Selain itu, program turut menampilkan pertandingan booth pameran bertemakan “A Drop of STEM, A Touch of Childhood”, yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi UPSI dan IPTA luar dari pelbagai kelab persatuan.

Booth-booth yang dipamerkan menampilkan kreativiti dalam menyampaikan konsep STEM melalui pendekatan mesra kanak-kanak, aktiviti permainan berunsur pembelajaran, dan ubahan bantu mengajar interaktif yang menyeronokkan.

Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mahasiswa menonjolkan idea, tetapi juga mendidik pelawat cilik dengan pendekatan yang mudah difahami.

Satu lagi segmen istimewa dalam program ini ialah perkongsian khas daripada Amin Abid, yang menyentuh tentang aplikasi STEM dalam dunia pendidikan dan komuniti. Perkongsian tersebut berjaya menarik perhatian lebih 200 orang pengunjung yang terdiri daripada warga UPSI dan komuniti Tanjong Malim.

Dalam sesi tersebut, beliau turut membentangkan pelbagai bahan dan produk hasil ciptaan mereka. Perkongsian ini memberi inspirasi kepada para peserta, terutamanya mahasiswa dan pengunjung yang turut hadir untuk melihat bagaimana inovasi kecil mampu memberi impak besar dalam dunia pendidikan.

Menariknya, program ini turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah menengah yang hadir bersama guru mereka, yang kelihatan teruja mencuba aktiviti sains interaktif dan permainan berasaskan teknologi.

Penglibatan golongan cilik ini memberi warna kepada program, sekaligus menyemai minat awal terhadap dunia STEM dalam kalangan generasi muda sejak dari kecil.

Pengarah Program, saudari Nursafika Binti Amat, dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima serta berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.

“Saya percaya bahawa pendekatan interaktif dan praktikal seperti ini dapat memberi impak yang besar kepada kefahaman serta minat pelajar terhadap bidang STEM. Diharapkan program ini dapat menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif yang menyentuh bidang inovasi dan teknologinya,” katanya.

Turut hadir merasmikan program iaitu Prof Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Mahasiswa Kolej Ungku Omar, UPSI dalam menganjurkan program berimpak tinggi.

Dalam ucapannya, beliau berkata, “Kita perlu memperkasa generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang STEM agar mereka mampu bersaing di peringkat global.

Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa mahasiswa kita bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap pembangunan masyarakat dan negara.”

Program ini turut menjadi pentas kepada para pelajar dan penyelidik UPSI untuk mengetengahkan hasil inovasi dan penyelidikan mereka, sekaligus membuktikan komitmen universiti dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kemajuan negara.

Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi menyemarakkan budaya ilmu, inovasi dan daya cipta dalam kalangan setiap pelajar.