Oleh: Muhammad Sufian Mohamad Saidi
Tanjong Malim, 10 Jun 2025 – Majlis Sambutan Ibadah Korban dan Aqiqah Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tahun 1446H/2025 telah berjaya dilangsungkan dengan penuh semangat kerjasama dan penghayatan pengorbanan.
Program tahunan anjuran Pusat Islam UPSI ini telah diadakan di perkarangan Masjid Al-Mursyidin dengan penyertaan meluas dalam kalangan kakitangan dan mahasiswa UPSI.
Sebanyak 14 ekor lembu telah ditumbangkan dalam majlis ini yang bermula seawal jam 7.00 pagi. Proses sembelihan dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan penglibatan aktif daripada para peserta, staf, serta para sukarelawan.



Program ini turut dibantu oleh beberapa jabatan termasuk Bahagian Keselamatan, Bahagian Komunikasi Korporat, dan Pusat Kesihatan UPSI.
Seramai 79 orang sukarelawan terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Al-Mursyidin Club (AMC) dan pelajar UPSI yang lain telah membantu menjayakan pelaksanaan program ini.
Mereka memainkan peranan penting dalam urusan sembelihan, melapah, menimbang dan mengagihkan daging, serta pembersihan kawasan selepas program berakhir.



Program turut menggalakkan peserta korban dan aqiqah untuk membawa pisau melapah sendiri bagi mempercepatkan proses melapah dan agihan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, budaya gotong-royong diteruskan demi memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah yang penuh keberkatan ini.
Sesi jamuan makan tengah hari bermula pada jam 12.30 tengah hari, diikuti dengan agihan daging kepada penama dan peserta pada jam 12.45 tengah hari.
Selepas selesai solat Zohor, program diteruskan dengan gotong-royong pembersihan yang melibatkan semua pihak yang hadir sebelum majlis bersurai pada sekitar jam 3.15 petang.



Majlis ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, tetapi juga mengukuhkan nilai kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga UPSI.
Pusat Islam UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan Majlis Sambutan Ibadah Korban dan Aqiqah 1446H/2025, sama ada melalui sumbangan, tenaga mahupun kehadiran.


Semoga segala usaha ini diterima sebagai amal soleh dan menjadi manifestasi makna sebenar pengorbanan dalam kehidupan umat Islam, bertepatan dengan semangat Aidiladha yang diraikan setiap tahun.
