TANJONG MALIM, 10 Jun 2025 – Majlis Sambutan Ibadah Korban dan Aqiqah Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tahun 1446 Hijrah berjaya dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan semangat kebersamaan.
Program tahunan anjuran Pusat Islam UPSI itu berlangsung di perkarangan Masjid Al-Mursyidin dan mendapat penyertaan yang meluas dalam kalangan warga universiti, termasuk kakitangan dan mahasiswa.
Majlis tersebut bukan sahaja bertujuan melaksanakan tuntutan ibadah korban dan aqiqah, malah menjadi medium pengukuhan ukhuwah serta pemantapan nilai keinsanan dalam kalangan komuniti UPSI sejajar dengan semangat pengorbanan yang dizahirkan sempena Aidiladha.


Sebanyak 14 ekor lembu telah ditumbangkan dalam majlis yang bermula seawal jam 7.00 pagi. Proses sembelihan dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan penglibatan aktif daripada para peserta, staf, dan sukarelawan. Pelaksanaan program turut dibantu oleh beberapa jabatan termasuk Bahagian Keselamatan, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) dan Pusat Kesihatan (PKU) dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Pusat ICT), UPSI.


Seramai 79 orang sukarelawan, yang terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Al-Mursyidin Club (AMC) dan mahasiswa UPSI telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Mereka terlibat dalam pelbagai tugas seperti urusan sembelihan, pelapahan, penimbangan, pengagihan daging, serta kerja-kerja pembersihan kawasan selepas majlis selesai.
Sebagai inisiatif mempercepatkan proses kerja, peserta korban dan aqiqah turut digalakkan membawa pisau melapah sendiri. Seperti tahun-tahun sebelumnya, budaya gotong-royong terus diterapkan demi memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah yang penuh keberkatan ini.




Sesi jamuan makan tengah hari bermula pada jam 12.30 tengah hari, diikuti dengan agihan daging kepada penama dan peserta pada jam 12.45 tengah hari. Seusai solat Zohor, program diteruskan dengan aktiviti gotong-royong pembersihan melibatkan semua pihak yang hadir sebelum majlis bersurai sekitar jam 3.15 petang.


Majlis ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah mengukuhkan nilai kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga UPSI. Pusat Islam UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan Majlis Sambutan Ibadah Korban dan Aqiqah 1446H/2025, sama ada melalui sumbangan, tenaga mahupun kehadiran.
Semoga segala usaha ini diterima sebagai amal soleh dan menjadi manifestasi makna sebenar pengorbanan dalam kehidupan umat Islam, bertepatan dengan semangat Aidiladha yang diraikan setiap tahun.
