Oleh: Nor Amalin Sofiya Binti Azhar
Tanjong Malim, Perak – Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin terbuka dan berbilang budaya, usaha memupuk perpaduan dalam kalangan mahasiswa menjadi semakin penting dan relevan. Sehubungan itu, Sekretariat Rukun Negara (SRN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program intelektual bertajuk Siswa Talk: Harmoni Tanpa Batasan, “Menghargai Kepelbagaian, Menyemai Perpaduan” di bawah tema besar “Menjulang Perpaduan Mahasiswa Menelusuri Peranan Pelajar Pelbagai Kaum dalam Mencorak Kampus yang Harmoni”. Program ini bukan sahaja melibatkan mahasiswa UPSI, malah turut mendapat kerjasama daripada dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Negeri Perak, iaitu Sekretariat Rukun Negara Politeknik Ungku Omar dan Sekretariat Rukun Negara Universiti Kuala Lumpur. Program ini telah diketuai oleh Saudari Nik Nurul Athirah Binti Mohd Fikri bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang sangat komited dan berdedikasi.

Program yang berlangsung secara atas talian melalui platform Google Meet pada 21 Jun 2025 yang lalu berjaya menghimpunkan seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa/i pelbagai kaum, agama dan latar belakang sosio-budaya. Kejayaan penganjuran ini bukan sahaja menjadi simbol kesatuan warga kampus, malah membuktikan bahawa kesepaduan antara mahasiswa pelbagai kaum masih utuh dalam menghadapi cabaran globalisasi dan anasir perpecahan. Lebih bermakna lagi, sesi wacana ini menampilkan tiga tokoh mahasiswa sebagai panel utama yang masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri dalam memperjuangkan suara perpaduan di kampus. Panel pertama ialah Saudara Muhammad Afizi Zazani bin Muddin, Mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2023/2024, panel kedua ialah Saudara Alan Teo Soon Hui, Skim Perkhidmatan Khas Universiti (SPKU19) dan juga merangkap Mantan MPP Sidang 2022/2023 manakala panel yang ketiga pula ialah saudara Uthayavellan a/l Lingam, Yang Dipertua Kelab Kebudayaan Bharatanatyam Sidang 2024/2025.

Diskusi yang dikendalikan dalam suasana santai namun penuh pengisian ini telah membuka ruang kepada mahasiswa/i untuk menelusuri dengan lebih mendalam mengenai peranan pelajar pelbagai kaum dalam membina landskap kampus yang lebih inklusif, toleran dan bersifat mesra budaya. Antara isu yang diketengahkan termasuklah pengalaman marginalisasi dalam aktiviti kampus, cabaran komunikasi antara budaya, serta potensi platform pelajar dalam membentuk solidariti pelbagai etnik melalui kelab, persatuan, program universiti mahupun aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan.
Panel-panel juga menekankan bahawa perpaduan tidak akan tercapai hanya dengan slogan, tetapi perlu diterjemah melalui tindakan, kepekaan sosial dan semangat kepimpinan yang inklusif. Mereka turut menggariskan pentingnya dialog terbuka, penghormatan terhadap perbezaan dan kepimpinan mahasiswa yang berasaskan nilai sejagat seperti hormat-menghormati antara satu sama lain, berkasih sayang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi dalam usaha memupuk perpaduan kaum yang kukuh dan berterusan.
Program ini turut menyokong aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, dengan menyediakan peluang pembelajaran yang lebih inklusif dan seimbang kepada semua pelajar. Ia memberi ruang kepada pembangunan ilmu dan sahsiah yang seiring, selaras dengan keperluan pendidikan masa kini. Program ini juga menyokong SDG 10 yang menekankan usaha mengurangkan ketidaksamaan melalui penyertaan pelajar dari pelbagai latar belakang secara adil dan terbuka, tanpa diskriminasi. Selain itu, program ini membantu merealisasikan SDG 16 dengan menggalakkan interaksi yang sihat, sikap saling menghormati dan perpaduan dalam kalangan warga kampus. Secara tidak langsung, ia membina komuniti kampus yang harmoni, aman dan saling menyokong antara satu sama lain.

Lebih daripada sekadar sebuah diskusi, program ini menjadi lambang suara mahasiswa bahawa anak muda Malaysia bersedia memimpin dengan semangat perpaduan, menjadikan kampus sebagai medan awal dalam membentuk masa depan negara yang bersatu, progresif dan berdaya tahan. Di penghujung program, sesi soal jawab bersama peserta, cabutan bertuah serta fotografi maya menjadi penutup kepada sebuah malam yang cukup bermakna. Ia merupakan detik bersejarah yang menyaksikan mahasiswa pelbagai kaum duduk semeja secara maya, berkongsi impian dan menyulam harapan demi membina sebuah kampus yang harmoni dan Malaysia yang lebih bersatu.
