Oleh: Afif Firdaus Bin Mohd Zulkifli

Tanjong Malim, Perak- Pelaksanaan Kod QR bukan lagi menjadi satu perkara yang asing kepada kita semua pada hari ini. Jadi, persoalan antara konteks kemudahan atau perangkap bagi kod QR ini telah menjadi bualan hangat yang diperkatakan pada hari ini. Oleh itu, program ini berteraskan tunjang utama bagi Program SULAM melibatkan subjek DSC2013 Kesedaran Keselamatan Siber (Cybersecurity Awareness) bersama-sama mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris dan komuniti setempat Tanjong Malim. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama daripada Fakulti Komputeran dan Meta- Teknologi (FKMT) dan juga kerjasama yang sangat baik daripada peniaga-peniaga kecil serta masyarakat di sekitar pasar malam Tanjong Malim.

Program ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu keselamatan digital. Hal ini dikatakan demikian kerana ramai masyarakat kurang cakna tentang potensi penyalahgunaan kod QR, terutamanya apabila penjenayah menggantikan kod sebenar dengan kod palsu yang menyebabkan peniaga-peniaga kecil ini tertipu. Oleh itu, dengan pendedahan yang diberikan melalui program ini, masyarakat setempat dan peniaga-peniaga kecil akan dapat mengenal pati taktik-taktik penipuan yang sering digunakan, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan ini.

Perjalanan program ini berlangsung selama satu hari di pasar malam Tanjong Malim dengan beberapa aktiviti yang secara keseluruhannya melibatkan peniaga-peniaga kecil dan masyarakat setempat. Tambahan juga, program ini mendapat sokongan daripada Ts. Salman Firdaus Sidek, pensyarah subjek Cybersecurity Awareness, UPSI. Aktiviti yang dijalankan melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan usia, atau jenis perniagaan sehingga menjadikan program ini lebih berpusatkan masyarakat dan peniaga kecil.

Di samping itu, tinjauan telah dibuat setelah pertama kali kami menapak kaki di pasar malam Tanjong Malim bagi menjayakan program ini. Pengedaran risalahyang memiliki kandungan melibatkan program ini dan juga maklumat-maklumat penting yang dapat digunakan oleh mereka. Aktiviti ini dilakukan dengan mengedarkan risalahkepada peniaga-peniaga kecil dan masyarakat yang berkunjung di pasar malam ini. Tambahan lagi, risalah yang diedarkan memiliki maklumat seperti langkah-langkah bijak yang dapat dilakukan oleh orang ramai bagi mengelakkan terjebak dengan isu ini

Aktiviti seterusnya dilakukan dengan menemu bual peniaga-peniaga kecil dan masyarakat yang berkunjung termasuklah mahasiswa/i UPSI. Aktiviti mewawancara peniaga-peniaga kecil melibatkan program Kod QR Kemudahan Atau Perangkap? Ancaman Baharu Di Kaunter Pembayaran telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada mereka, malah terdapat di antara mereka yang sudi untuk berkongsi pengalaman sendiri yang terjebak dengan isu yang menjadi polemik ini.

Bukan itu sahaja, terdapat masyarakat setempat yang turut serta untuk berkongsi pengalaman dan pendapat mereka terhadap isu ini. Tambahan lagi, mahasiswa/i UPSI juga sangat cakna terhadap isu ini sehingga mereka juga sangat berminat untuk berkongsi dan juga mendengar perkongsian ilmu serta maklumat penting berkaitan dengan perkara ini. Aktiviti ini melibatkan pengendalian sepenuhnya daripada ahli Jawatankuasa agar mereka semua dapat berkongsi maklumat yang berguna ini kepada orang ramai supaya kes-kes penipuan kod QR ini tidak lagi berleluasa pada masa akan datang.

Kedua-dua aktiviti ini dijalankan serentak yang memiliki objektif tersendiri agar pada akhirnya matlamat utama program ini dicapai dengan baik dan cemerlang. Pengukuhan terhadap isu kod QR ini sewajarnya tidak dipandang enteng oleh masyarakat serta menimbulkan sifat cakna yang tinggi dalam diri masyarakat dan orang ramai supaya aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama Tahun 2030 sama ada secara fizikal dan maya dapat digapai tanpa halangan pada masa akan datang.

Kesimpulannya, penganjuran Program Kesedaran Keselamatan Siber ini merupakan satu langkah proaktif dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan keselamatan digital. Peningkatan ancaman siber yang semakin kompleks, jadi program ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran malah memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat dan orang ramai. Dengan pelaksanaan program sebegini, bukan sahaja dapat menyebarkan maklumat-maklumat penting tetapi dapat mempersiapkan negara dengan benteng utama yang hadir dari sifat kesedaran dan cakna terhadap keselamatan siber.