Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Ting Sing Leong
Kuching, 28 April 2025 – Seramai 21 orang pelajar daripada Program Pesisir Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan telah berjaya meraih pingat perak bagi semua kumpulan yang mengambil bahagian dalam Semarak International Research Innovation Symposium IV (SIRIS IV) yang berlangsung secara dalam talian.

Penyertaan dalam SIRIS IV merupakan hasil bimbingan berterusan daripada Dr.Vestly Kong Liang Soon terhadap pelajar sarjana dalam usaha menghasilkan kajian berimpak tinggi dalam bidang pendidikan khas. Berikut ialah senarai 7 tajuk kajian yang telah menerima pengiktirafan pingat perak:
i. Amalan dan Faedah Guru Pelatih Pendidikan Khas terhadap Pendekatan Belajar melalui Bermain untuk Murid Masalah Pembelajaran
ii. Keberkesanan Aktiviti Seni dalam Meningkatkan Perkembangan Kemahiran Motor Halus bagi Murid Masalah Pembelajaran
iii. Keberkesanan Terapi Permainan Lego bagi Mengurangkan Masalah Interaksi Sosial dalam Kalangan Murid Autism Spectrum Disorder
iv. Kebolehpasaran Kursus Operasi Pengeluaran Batik: Satu Kajian Kes ke atas Murid Masalah Pembelajaran
v. Kesediaan Guru Pelatih terhadap Penggunaan Video Interaktif untuk Murid Masalah Pembelajaran di Program Pendidikan Khas Integrasi
vi. Penggunaan dan Kekangan Bahan Multimedia dalam Pengajaran untuk Murid Lembam oleh Guru Pelatih Pendidikan Khas
vii. Penguasaan Amali Asas Penyediaan Sandwic: Satu Kajian Kes ke atas Murid Autistik

SIRIS IV anjuran Semarak Ilmu Sdn. Bhd. merupakan satu platform yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengamal profesional dari seluruh dunia untuk mengkongsikan hasil penyelidikan mereka yang terkini. SIRIS IV turut menampilkan tujuh pembentang utama antarabangsa yang berkongsi pandangan dan kepakaran dalam pelbagai bidang.
Pendedahan kepada SIRIS IV ini juga membolehkan pelajar sarjana memperluaskan jaringan akademik mereka dan memperoleh maklum balas konstruktif daripada komuniti penyelidik yang lebih luas. Secara tidak langsung, penyertaan ini memupuk semangat inovasi, pemikiran kritis, dan komitmen terhadap amalan pendidikan khas yang lebih holistik dan berasaskan bukti.
Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI malah membuktikan keupayaan pelajar sarjana Pendidikan Khas dalam mengaplikasikan pengetahuan secara praktikal dan inovatif untul menyumbang dalam pembangunan bidang pendidikan khas di Malaysia.
