Oleh : Siti Nur Ain Yusni
Kuala Lumpur, 2 JULAI 2025 – Program “Jalinan Kasih Nirmala” atau dipanggil JAKMA merupakan satu inisiatif bawah anjuran Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sidang 2024/2025, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini menyatukan elemen pendidikan, kemasyarakatan dan nilai kemanusiaan dalam satu platform yang amat penting dalam usaha kerajaan dalam mewujudkan kemenjadian pelajar selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Program yang bertempat di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), Cheras Kuala Lumpur ini, mengetengahkan peranan mahasiswa/i sebagai agen perubahan terhadap kesejahteraan emosi dan fizikal kanak-kanak dalam memberikan semangat dan keprihatinan terhadap kanak-kanak yang sakit di HPKK tersebut.



Melalui pendekatan mesra kanak-kanak secara inklusif, para mahasiswa/i bukan sahaja diberi peluang untuk menyantuni golongan ini secara langsung, malah turut terlibat dalam mengelola dan mengendalikan pelbagai aktiviti terapeutik yang menceriakan.
Jalinan kasih yang terbentuk ini menjadi simbol kasih sayang dan tanggungjawab sosial yang mendalam.
Seramai 40 orang yang hadir mahasiswa/i DPAKK sebagai peserta program bersama dua orang pengiring Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) iaitu Puan Norrulkamari Daud sebagai penasihat persatuan dan juga Puan Farhana Nohrin Mohd Anuar pensyarah pengiring serta ahli jawatankuasa program Jalinan Kasih Nirmala.
Antara objektif utama program Jalinan Kasih Nirmala adalah membina nilai-nilai murni dalam diri mahasiswa/i seperti empati, kasih sayang, keprihatinan dan memupuk nilai kemanusiaan dengan memberikan pengalaman langsung menyantuni kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan di HPKK tersebut.



Melalui interaksi ini, mahasiswa/i dapat meningkatkan tahap kefahaman terhadap keperluan khas dan suasana rawatan yang diberikan oleh pihak hospital kepada kanak-kanak di HPKK.
Pendedahan ini membolehkan mahasiswa/i mengenali cabaran sebenar yang dilalui oleh pesakit muda serta menghargai peranan sokongan psikososial dalam membantu proses pemulihan dan rawatan mereka.



Program ini telah dirangka dengan penuh teliti dan sistematik. Pada jam 9:30 pagi, para peserta tiba di HPKK dan dimulakan dengan sesi fotografi di kawasan lobi utama HPKK diiringi oleh barisan protokol HPKK.
Seterusnya, kami memulakan majlis di bilik seminar 1 dimulai dengan bacaan doa diketuai oleh Aniq Aiman Hakim dan seterusnya ucapan daripada Nur Sharbilla Najwa Bt Shariffuddin selaku Pengarah Program Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Persatuan DPAKK.
Seterusnya, ucapan daripada Puan Norrulkamari Daud,Penasihat Persatuan DPAKK dimulakan dengan lafaz syukur dan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) atas kesudian menerima kehadiran mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) seramai 40 orang dalam program lawatan ilmiah ini.



Beliau turut menyatakan rasa penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh pihak hospital, serta kerjasama yang amat baik daripada pegawai bertugas sepanjang sesi berlangsung.
Menurut beliau, peluang seperti ini amat bermakna khususnya kepada para mahasiswa/i yang sedang menimba ilmu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Seterusnya, ucapan dan kata alu-aluan daripada Encik Shamsulizmi Asmawi selaku Ketua Unit Bahagian Korporat Hospital Pakar Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Melalui ucapan daripada Encik Shamsulizmi Asmawi, telah memberi penerangan jelas mengenai suasana hospital dan perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian sepanjang lawatan berlangsung. Antara perkara yang ditekankan ialah berkenaan umur kanak-kanak yang dirawat, iaitu melibatkan pesakit seawal usia bayi sehingga remaja berumur 16 tahun.
Antara pengisian utama program ini adalah melaksanakan beberapa aktiviti menarik bersama kanak-kanak HPKK seperti seni dan kraf dengan menggunakan air clay, permainan interaktif dan permainan puzzle serta pemberian cenderahati kepada kanak-kanak.
Aktiviti ini bukan sahaja merangsang emosi dan kognitif kanak-kanak, malah membentuk daya empati dan kefahaman mendalam dalam diri peserta terhadap realiti hidup pesakit muda ini.
Sepanjang pelaksanaan aktiviti bersama kanak-kanak ini, sambutan yang diberikan amat menggalakkan dan penuh mesra, khususnya daripada kanak-kanak yang kelihatan teruja dan gembira menyertai setiap permainan serta aktiviti yang dijalankan.
Para peserta pula meluahkan rasa syukur dan terharu kerana diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pesakit cilik yang bukan sahaja menceriakan suasana tetapi turut menyuntik nilai empati dan keinsanan dalam diri masing-masing.


Keseluruhan aktiviti berlangsung dalam suasana yang positif, penuh kasih sayang dan penuh makna, sekali gus meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.
Program JAKMA berjaya memberi impak positif daripada pelbagai sudut sama ada mahasiswa/i, kanak-kanak mahupun warga HPKK. Mahasiswa/i lebih menghargai kesihatan diri dan belajar untuk nilai kemanusiaan dalam menghayati empati dan kasih sayang terhadap kanak-kanak yang sakit.
Tambahan pula, hubungan kerjasama antara institusi pendidikan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia serta pihak hospital turut terjalin erat.
Beberapa impak utama yang dicapai dan antaranya adalah, peningkatan kesedaran sosial dan nilai insaniah dalam kalangan mahasiswa/i, pendedahan awal terhadap persekitaran kerja profesional berkaitan kanak-kanak, memperkasakan soft skills seperti komunikasi, kepimpinan dan perancangan aktiviti dan akhir sekali mengukuhkan kerjasama berpasukan serta membina ukhuwah antara pelajar.
Di samping itu, JAKMA bukanlah hanya sebuah lawatan semata-mata atau program sukarelawan biasa, sebaliknya ia adalah manifestasi kasih sayang, kemanusiaan dan pendidikan nilai dalam konteks dunia sebenar.
Secara tidak langsung dapat melatih mahasiswa/i menjadi pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga kaya dengan jiwa dan hati yang peduli.
Diharapkan program seperti ini akan terus berkesinambungan pada masa akan datang dalam membentuk mahasiswa/i yang BITARA dan holistik seperti mana visi dan misi UPSI.
Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan dalam menjayakan program ini menjadi batu asas kepada pembentukan masyarakat prihatin yang holistik.
Program berakhir dengan sesi penyampaian plak penghargaan kepada Pengarah HPKK dan sumbangan berbentuk wang tunai kepada kanak-kanak HPKK, Cheras sebagai tanda solidariti pihak UPSI kepada kanak-kanak HPKK.
Kami juga sempat bergambar bersama-sama warga HPKK termasuklah kanak-kanak dan kakitangan HPKK. Penganjuran program yang sangat baik dan wajar dilaksanakan pada masa akan datang.
