Oleh: NurDinie Auni dan Norrulkamari
Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – Program Care4Kids merupakan salah satu program di bawah kursus akademik pelajar tahun satu Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, iaitu kursus KAT1023 Pendidikan Kesihatan dan Keselamatan untuk Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.
Seramai 76 pelajar yang mengambil kursus ini terlibat secara langsung bersama 52 orang kanak-kanak NCDRC, UPSI yang berusia 5 tahun keseluruhannya.
Program yang dijalankan pada minggu keenam kuliah ini adalah sebagai penilaian tugasan pelajar dalam menguasai Course Learning Outcomes (CLO) yang kedua dengan baik seperti dalam Proforma kursus iaitu mengorganisasi program kesihatan dan keselamatan untuk awal kanak-kanak.
Selain itu, program ini memberi peluang kepada mahasiswa/i kursus untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari berkaitan kesihatan dan keselamatan awal kanak-kanak yang telah dipelajari sepanjang sesi kuliah semester pendek selama 7 minggu ini.



Pengisian utama program ini adalah menekankan topik-topik yang terkandung dalam ProForma kursus seperti pemakanan dan nutrisi, keselamatan pusat awal kanak-kanak dan rumah, kebersihan dan penjagaan diri, keselamatan personel, dan banyak lagi tajuk yang diselitkan dengan aktiviti yang menarik kepada kanak-kanak. Jadi, setiap kumpulan pelajar diberi topik yang berbeza meliputi aspek kesihatan dan keselamatan.
Program yang berlangsung di Makmal Inkabutor, blok 9 FPM ini memberi pendedahan awal berkaitan kesihatan dan keselamatan awal kanak-kanak.
Dalam masa yang sama pelajar diberi peluang untuk mengamati dan mengaplikasikan ilmu atau pemahaman mereka tentang kesihatan dan keselamatan awal kanak-kanak yang dipelajari sepanjang tempoh kuliah.



Dalam hal ini juga, program ini memberi ruang kepada pelajar untuk menggunakan kreativiti mereka serta meningkatkan kecekapan dalam merancang dan melaksanakan program intervensi berkaitan penjagaan awal kanak-kanak.
Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada pukul 7.30 am hingga 8.00 am. Persiapan dan persediaan tapak telah dilaksanakan sehari sebelum program berlangsung.
Seterusnya, aktiviti pengajaran dilaksanakan bermula 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi. Aktiviti yang dilaksanakan bersama kanak-kanak adalah selama 2 jam. Akhir sekali, majlis penutup bermula 11.15 am hingga 12 pm seusai semua aktiviti tamat.


Program ini berakhir dengan majlis penutup dengan ucapan daripada penyelaras kursus KAT1023 iaitu Puan Norrulkamari Daud.
Melalui ucapan beliau, program ini sangat membantu para pelajar untuk memahami berkenaan penjagaan keselamatan dan kesihatan untuk awal kanak-kanak sekaligus dapat menambah kreativiti semasa melaksanakan aktiviti pembelajaran kepada kanak-kanak bagi memastikan kanak-kanak mengetahui betapa pentingnya penjagaan keselamatan dan kesihatan diri mereka dengan cara yang berkesan.
Pada masa yang sama, pelajar dapat menimba pengalaman melalui program yang dianjurkan bersama ini.
Oleh itu, tiga kumpulan pelajar yang terbaik telah dipilih oleh penyelaras kursus dan diberi cenderahati yang mendapat penilaian yang bagus dari aspek penyampaian, kreativiti dan pengajaran topik mereka, aktiviti yang dilaksanakan serta kerjasama kumpulan yang baik.



Selain itu, selaku pengarah program pula, Nur Alya Batrisyia Hasmizal mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana program atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini bermula sebelum, semasa dan selepas program.
Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada penyelaras kursus yang banyak memberi tunjuk ajar dalam aspek merancang, mengurus, mengelola dan menjayakan program ini di samping kerjasama yang baik daripada guru-guru dan juga kanak-kanak daripada NCDR, UPSI.
Program ini memerlukan perancangan yang rapi dari pelbagai aspek pengelolaan program bagi memastikan program berjalan lancar dari awal hingga akhirnya.
Program ini berjaya mencapai objektif yang dimatlamatkan iaitu memantapkan kemahiran penjagaan kesihatan dan keselamatan untuk awal kanak-kanak.
Care4Kids bukan sahaja memperluaskan pemahaman dan pengetahuan tentang kesihatan dan keselamatan awal kanak-kanak malah memberi kesedaran kepada pelajar dan pendidik untuk sentiasa mengingati bahawa perkara ini penting dan perlu dititkberatkan kepada kanak-kanak.
Program ini berakhir dengan sesi fotografi bersama guru dan kanak-kanak NCDRC serta pelajar kursus. Tahniah diucapkan kepada semua yang bersama-sama menjayakan program ini.
Semoga dengan peluang ini dapat memberi semangat dan idea yang lebih kreatif untuk melakanakan aktiviti bersama-sama kanak-kanak serta dapat melahirkan generasi yang mempunyai tubuh sihat, minda cemerlang.
